Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 9, 2017

AH LONG TERSILAP SASARAN


Ah long tersilap sasaran


Seremban - “Orang lain pinjam duit, orang lain jadi mangsa,” keluh Mohd Ariffin Ayob, 46, apabila mengenangkan nasibnya yang menjadi sasaran ah long pada Disember tahun lepas, walaupun tidak pernah berurusan dengan mereka.

Tidak cukup dengan ugutan bertulis yang ditampal pada bahagian depan kenderaannya, rumah dihuni sejak lapan tahun lalu di Taman Bandar Senawang, Senawang, turut disimbah cat warna merah.

Menurutnya, segala yang berlaku difahamkan berpunca daripada kekeliruan membabitkan lokasi tempat tinggal peminjam sebenar.

“Dipercayai, si peminjam mempunyai nombor rumah yang sama dengan saya. Kebetulan, lelaki tu pun tinggal dalam kawasan Senawang.

“Saya hanya mengetahui identiti sebenar peminjam pada 5 Januari lalu, daripada kakak ipar. Dia dapat tahu daripada salah seorang jiran saya di taman perumahan ni.

“Khabarnya jiran saya dah kenal pasti peminjam tu sejak 3 Januari lagi. Tapi dia enggan maklumkan pada saya, sebab khuatir saya bertindak melulu. Sebaliknya, dia cuma kongsi maklumat tu dengan polis,” katanya.

Mohd Ariffin berkata, notis ugutan diterima pada 2 Disember tahun lepas, sekitar jam 4 petang.

“Isteri saya ternampak notis tu waktu nak angkat jemuran. Terpaksa minta adik bantu isteri buat laporan polis, memandangkan saya di Kuala Lumpur masa tu.

“Ingatkan hal tu dah selesai, tapi rupanya berlarutan. Beberapa hari lepas tu, ada kenderaan jenis Vios dan Kenari yang bercermin gelap berkeliaran dalam keadaan mencurigakan depan rumah saya.

“Bila saya atau jiran menjengah keluar dan cuba mendekati mereka, kedua-dua kenderaan terbabit cepat-cepat beredar,” katanya.

Menurut Mohd Ariffin, kemuncak ugutan diterima pada 29 Disember tahun lepas, apabila kediamannya dilontar tiga bungkus cat sekitar jam 2.45 petang.

“Masa kejadian, isteri saya bersama empat anak jiran yang dijaga saja berada di rumah. Anak sulung di universiti, manakala anak bongsu bertugas di Kedah.

“Habis bahagian depan rumah saya terkena cat. Kereta, sofa, kasut dan pakaian di jemuran pun turut jadi mangsa. 

“Paling kasihan, isteri saya. Sampai sekarang dia trauma bila nak keluar rumah. Disebabkan insiden tu juga, saya ambil keputusan pasang CCTV (kamera litar tertutup) untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Berbalik kepada misi pencarian peminjam sebenar, katanya, dia pernah cuba menghubungi individu berkenaan sejak 2 Disember tahun lepas.

“Saya tahu nombornya, sebab ada tertera dalam notis ugutan. Puas saya hubungi dia untuk berjumpa dan berbincang, tapi dia langsung tak jawab panggilan. Mesej yang saya hantar pun langsung tak dihiraukan.

“Waktu tu, saya dah buntu nak cari dia. Tapi lepas buat solat hajat bersama jiran-jiran pada 30 Disember lalu, barulah semuanya terbongkar dan dipermudahkan.

“Alhamdulillah... ALLAH tunjukkan jalan melalui salah seorang jiran saya. Kali pertama saya dapat bersemuka dengan si peminjam pada malam tadi (kelmarin) di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Seremban.

“Difahamkan, lelaki berusia 64 tahun tu ada pinjam RM2,000 dengan ah long. Tapi cuma dapat lebih kurang RM1,600, lepas ditolak bunga. Difahamkan, dia kena bayar balik dalam RM4,000,” katanya.

Walaupun masalah dihadapi tampak sudah selesai, dia sekeluarga masih terkesan dengan kejadian yang berlaku sebelum ini.

“Saya jadi tak senang duduk setiap kali terdengar bunyi kenderaan depan rumah. Tapi paling saya bimbangkan keselamatan keluarga, termasuk keselamatan anak-anak jiran yang isteri saya tolong jaga.

“Kemudian, tanggapan masyarakat terhadap kami sekeluarga. Kebetulan dua minggu sebelum rumah disimbah cat, kami baru selesai buat kenduri kahwin anak bongsu. Ada yang salah sangka kami pinjam dengan ah long untuk tampung perbelanjaan majlis,” katanya mengakhiri bicara.


0 comments:

share2