Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 9, 2017

RESAH RUMAH SEMAKIN RETAK


Resah rumah makin retak


Melaka Tengah - Penduduk lebih 15 rumah di Taman Merah Jaya, Parit Kundur, di sini bimbang dengan keadaan kediaman mereka yang kian retak sejak 10 tahun lalu.

Malah, mereka turut menzahirkan kekecewaan apabila aduan yang dikemukakan tidak diambil peduli oleh pihak bertanggungjawab.

Difahamkan, taman perumahan tersebut didiami penduduk sejak tahun 1994, iaitu rumah pampasan pembelian tanah daripada pihak berkenaan. bagaimanapun sesetengah pemilik mendakwa rumah diberi tidak berkualiti.

Salah seorang penduduk, Ram Awang, 55, berkata, keretakan rumah di beberapa bahagian tengah dan dapur dikenal pasti sejak 2004 dan sehingga ke hari ini ia bertambah teruk, tambah menyedihkan apabila aduan yang dibuat tidak diambil tindakan.

“Bukan rumah saya sahaja yang retak begini. Lebih 15 rumah sudah mengalami perkara sama, namun hanya tujuh daripadanya yang retak serius. Kita risau, sebab benda ni berlaku dah lama.

“Banyak kali juga kami adukan kepada pihak yang bertanggungjawab, namun tiada tindakan susulan diambil. Memang mereka ada datang tengok, lepas tu senyap macam tu saja sampailah sekarang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini, kelmarin.

Menurutnya yang juga ibu tunggal, dia bersama enam anak dan dua cucu yang menghuni rumah itu bimbang akan keselamatan yang boleh mengancam nyawa lebih-lebih lagi apabila angin kuat.

“Memang betul, pihak yang bertanggungjawab ada datang baiki dengan menampal simen pada dinding yang retak, tapi hanya sekali dan keretakan kembali terbuka selepas enam bulan.

“Kami semua kesal sebab mereka macam acuh tak acuh dengan keselamatan kami dan kami pun tak tahu nak mengadu kepada siapa lagi. Jangan sampai ada nyawa dah tergadai baru nak bertindak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanah Merah Jaya, Nor Azman Hasan berkata, pihaknya telah mengusulkan aduan penduduk kepada pihak yang bertanggungjawab lebih dari tiga kali sejak mendapat maklumat daripada penduduk yang terlibat.

“Penempatan ini dibina pada 1994 untuk penduduk kampung yang dialihkan dari Sungai Udang. Dekat sini ada beberapa jenis rumah dan mendapati yang terkena tempias tu rumah jenis tiga bilik.

“Difahamkan asal tapak rumah nak buat masjid tapi tak jadi. Bila duduk setahun dah ada retakan sehinggalah ke hari ini hingga mengundang resah penduduk.

“Sebagai pengerusi saya dah jalankan tanggungjawab untuk mengusulkan perkara ini, mesyuarat juga kita dah adakan dengan pelbagai agensi. Saya akui memang lawatan ada dibuat tapi tiada susulan.

“Jadi saya juga berharap pihak yang bertanggungjawab tampil selesaikan masalah ini sebab benda ini dah lama. Dulu penduduk sudah berkorban kampung mereka, sekarang mereka perlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, pengurus bahagian hal ehwal korporat syarikat bertanggungjawab berkata, beliau sedia maklum perkara berkenaan dan telah membaik pulih rumah yang terlibat sebelum ini.

“Kami sedia maklum akan perkara tersebut dan segera membaikinya pada ketika itu. Kami dah betulkan dengan menyimen semua keretakan rumah penduduk yang terlibat.

“Namun bila perkara ini berlanjutan ia memerlukan pihak kami untuk menyiasat semula termasuk mendapatkan laporan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.


0 comments:

share2