Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 9, 2017

[RAUB] JANGAN JUAL BANTUAN DITERIMA



Jangan jual bantuan diterima


Semua penerima bantuan diingatkan supaya tidak menjual apa sahaja bantuan yang diberikan dengan tujuan meringankan beban hidup golongan usahawan kecil terpilih dengan perusahaan berpotensi besar untuk dimajukan.

Pegawai Daerah Raub, Datuk Khairul Anuar Mahmood berharap setiap penerima peka dengan bantuan diberikan kepada mereka dan menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan produk lebih berkualiti.

"Sumbangan diberikan adalah untuk memastikan golongan peniaga kecil dapat melaksanakan semua kerja secara teratur dan tersusun selain membantu mereka meneruskan apa yang dilakukan demi memenuhi minat serta impian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program dan penyerahan bantuan peralatan Empower Raub di bangunan Majlis Daerah Raub, di sini.

Sementara itu, Pengurus Besar Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Negeri Pahang, Mazlan Sharudin berharap setiap usahawan meneruskan segala usaha dilakukan dengan penuh minat serta motivasi supaya bantuan diberikan dapat menjana pendapatan tambahan.

Menurutnya, program yang dilaksanakan secara berperingkat oleh ECERDC di daerah ini mampu membantu usahawan kecil mengembangkan perusahaan mereka dari semasa ke semasa.

"Keazaman yang dipamerkan oleh usahawan kecil ini mendorong ECERDC untuk terus menyalurkan bantuan sebaik mungkin bagi memastikan perusahaan dijalankan bersifat jangka panjang.

"Pertambahan bilangan usahawan kecil di negeri ini menyaksikan lebih ramai anggota masyarakat terus gigih serta mempunyai alternatif dalam mencari rezeki selain tidak kenal erti putus asa," katanya.

Tambahnya, usahawan kecil sememangnya memerlukan perhatian daripada kerajaan yang mana bantuan serta sokongan diberikan menjadi nadi kepada mereka untuk meneruskan usaha dijalankan.

Katanya, bantuan melalui program sebegitu akan diteruskan bagi membantu usahawan kecil yang mahu membesarkan perniagaan sedia ada.

"Kegigihan mereka mendapat perhatian yang mana bantuan diberikan mempunyai nilai agak tinggi selain peralatan berkualiti dalam menjamin perusahaan mereka berjalan lancar," katanya.


0 comments:

share2