Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 21, 2016

[ROMPIN] 'MAK MINTA BELAJAR PANDAI-PANDAI'


'Mak minta belajar pandai-pandai'


Biar pun tidak terpilih memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selepas tamat sekolah rendah, seorang pelajar Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (Pipoa) Kuala Rompin, di sini, akhirnya berpeluang memasuki sekolah berasrama penuh itu tahun depan.

Pelajar Orang Asli, Azza Naswa Abdul Aziz, 15, yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan tidak menyangka usahanya membuahkan hasil apabila mendapat keputusan 9A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), kelmarin.

Dia yang agak pemalu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin Permai turut memiliki minat tinggi dalam bidang grafik dan kreatif serta bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam kursus berkaitan.

“Terima kasih kepada emak, abang dan adik yang beri sokongan dan sentiasa berdoa. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya dapat keputusan cemerlang. Emak minta saya belajar pandai-pandai, saya ikut dan inilah hasilnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Azza Naswa merupakan satu-satunya pelajar Pipoa Kuala Rompin yang mendapat keputusan 9A daripada keseluruhan 27 calon dan berasal dari keluarga berlatar belakangkan pertanian serta kurang berkemampuan.

Sementara itu, ibunya, Halimah Abdullah, 49, yang bekerja sebagai penoreh getah menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH kerana cita-cita anak kedua daripada tiga beradik itu untuk menyambung pelajaran di MRSM kini terbentang luas.

“Saya tahu dia nak sangat masuk MRSM, jadi saya cuma suruh dia belajar pandai-pandai. Walaupun saya ada penyakit ketumbuhan di pangkal rahim, tapi saya sedaya upaya elakkan ia jadi masalah kepada anak-anak.

“Abang dia dah berkorban tak sambung belajar kerana nak kerja bantu saya, jadi saya harap biarlah dia maju jaya dalam pelajaran agar boleh ubah nasib keluarga, tak mahu jadi macam saya,” katanya.


0 comments:

share2