Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 24, 2016

RM2.89 JUTA KES PENIPUAN PAKEJ UMRAH


PDRM


Shah Alam - Sebanyak RM2.89 juta dicatatkan membabitkan kerugian akibat kes penipuan pakej umrah seluruh negara bagi tempoh tahun ini bermula Januari hingga November.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 84 laporan polis.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 29 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes berkenaan.

“Polis akan menyiasat dari sudut unsur-unsur penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Daripada siasatan kita, dapati lebih 80 peratus daripada kes yang dilaporkan melibatkan syarikat-syarikat yang tidak berlesen dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kementerian pelancongan adalah sebagai agensi utama mengeluarkan lesen syarikat atau agensi pelancongan. Manakala, Tabung Haji dalam memberikan kuota haji atau umrah sahaja kepada syarikat atau pun agensi yang membawa jemaah.

Katanya, urusan umrah adalah dibawa tanggungjawab syarikat masing-masing.

Tambahnya, bilangan jemaah haji dan umrah perlu dilaporkan oleh syarikat kepada Kementerian Pelancongan dan Tabung Haji sebagai rekod mereka. Ini kerana, apabila adanya laporan polis yang dibuat, kementerian juga akan dimaklumkan untuk siasatan mereka dari aspek pelanggaran syarat-syarat pelesenan.

Justeru, bagi mengelakkan penipuan, orang ramai dinasihatkan menggunakan agensi-agensi yang berdaftar selain tidak mudah terpengaruh dengan pakej-pakej yang menawarkan harga murah.


0 comments:

share2