Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 24, 2016

PRESIDEN PEKA DIREMAN HINA KESULTANAN JOHOR


SHARIFFA SABRINA (kanan) bersama Norhayati Shahrom (kiri) dikenakan


Tiga individu termasuk Presiden Pertubuhan Pe­lindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil ditahan kerana dipercayai mengeluarkan kenya­taan jelik terhadap Institusi Ke­sultanan Johor dalam dua kes berasingan semalam.

Dalam kes pertama, Shariffa Sabrina, 54, dan Pembantu Tadbir Peka, Norhayati Shahrom, 51, ditahan di sebuah premis di Batu Tiga, Shah Alam, Selangor pada pukul 8.30 malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, penahanan itu dibuat ekoran laporan polis yang diterima pihaknya berhubung kenyata­an jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam Facebook, Selasa lalu.

“Kedua-duanya kini ditahan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen, Hidayah Abdul Manaf di sini hari ini dan kedua-dua wani­ta tersebut diwakili peguam, Siti Zabedah Kasim.

Terdahulu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di Jalan Puyuh Larkin Jaya, di sini pukul 6.45 petang semalam kera­na mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah.

Menurut Wan Ahmad Najmuddin, pihaknya turut merampas sekeping kad sim dan sebuah te­lefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat kenya­taan jelek itu dalam Facebook.

Jelasnya, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman sama.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana per­khidmatan aplikasi untuk me­ngeluarkan ke­nyataan palsu, me­nyakitkan hati, menganiaya, meng­ugut dan mengganggu orang lain.

Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terlibat.


0 comments:

share2