Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 13, 2016

[MARAN] PPD LANCAR TABUNG BENCANA DAN MISI PEDULI ACEH


PPD lancar Tabung Bencana dan Misi Peduli Aceh


Pejabat Pendidikan Daerah Maran melancarkan Tabung Bencana Aceh bagi membantu membina semula 82 bangunan sekolah dan 14 masjid yang runtuh pada gempa bumi Acheh berukuran 6.5 SR pada 7 Disember lalu.

Ketua Pegawainya, Jalani Ludin berkata, PPD Maran telah menghantar satu misi bantuan ke Kampung Paya, Pidie Jaya Aceh pada 10 Disember lepas bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku di sana.

Menurutnya, kebanyakan waris keluarga yang terbunuh dalam gempa bumi tersebut hidup dalam serba kekurangan dan memerlukan sokongan serta bantuan dari segi kewangan dan moral untuk kembali meneruskan kehidupan.

"Susulan gempa bumi tersebut 100 orang terbunuh dan lebih 600 orang cedera. Kami difahamkan kebanyakan mangsa yang mati dan cedera adalah kerana dihempap rumah sendiri ketika sedang tidur kerana gempa bumi berlaku kira-kira 10 minit sebelum masuk waktu subuh.

"Berdasarkan lawatan tersebut maka pihak PPD telah melancarkan Misi Peduli Acheh PPD Maran yang diketuai oleh saya sendiri. Bantuan awal telah diserahkan dalam lawatan pertama di Pos Operasi Koordinasi (Posko) di Kampung Paya pada 10 Disember lalu. Ia adalah dalam kawasan terjejas teruk iaitu Pidie Jaya. Perjalanan dengan kereta dari Banda Acheh memakan masa empat jam," katanya kepada pemberita di PPD Maran, hari ini.

Jalani berkata, bantuan kemanusiaan yang disampaikan berupa air bersih, alat kebersihan diri, lampin pakai buang dan makanan.

Rombongan Misi ini juga telah melawat dan memberikan bantuan kepada keluarga mangsa gempa yang rumahnya runtuh dalam kejadian pada pagi rabu itu.

"Kami akan meneruskan Misi Peduli Acheh dan terus menyampaikan sumbangan dari semasa ke semasa menerusi Tabung Bencana Acheh ini.

"Orang ramai yang ingin menyumbang boleh saalurkan melalui Tabung Peduli Acheh PPD Maran untuk membantu lebih 8,000 orang yang kehilangan rumah serta membantu membina semula sekolah dan Masjid yang runtuh. Sumbangan boleh dibuat dengan hubungi wakil PPD Maran, Tuan Haji Mohd Rozick di nombor 0199880859," katanya.


0 comments:

share2