Tumbuhan Nepenthes atau periuk kera dianggap mempunyai nilai jati diri tinggi yang berkait rapat dengan kehidupan manusia.
Begitu juga jati diri keris yang sinonim dengan martabat dan darah Melayu.
Nilai jati diri yang tersingkap pada tumbuhan dan senjata tradisi itu mendorong seorang pelukis tempatan yang juga pesara guru, Zakaria Adam, 65, untuk memotretnya atas satu kanvas bersenikan cat minyak.
“Kenapa keris saya gabungkan dengan periuk kera? Kerana keris melambangkan jati diri Melayu dan tumbuhan periuk kera sebagai simbolik pemangsa yang tidak menyerang jika tidak diganggu. Lihat kehidupan periuk kera. Ia pemangsa yang menunggu mangsa. Jika serangga tak dekat ia tidak memakannya tapi jika masuk ke dalamnya ia akan makan.
“Begitu saya melihat diri saya. Diri kita sebagai orang Melayu berdarah perwira. Melayu tidak suka diganggu dan tidak akan mengganggu. Gabungan keris dan periuk kera di dalam lukisan menyampaikan maksud saya yang tersembunyi,” katanya.
Dan ternyata, terjemahan nilai dan kualiti lukisan tersebut tidak hanya dapat ditembusi oleh mata fikiran dan akal Zakaria, sebaliknya ada pembeli berstatus VIP telah menempah lukisan tersebut pada harga RM30,000.
'Periuk kera sentiasa jadi diri sendiri'
Anak jati Maran yang digelar ‘Master or Nepenthes' ini sudah melebarkan namanya di persada antarabangsa dengan menyertai pelbagai pameran kerana kekerapannya menghasilkan lukisan tumbuhan hutan itu.
“Saya masih melukis objek seni lain cuma kini lebih berminat melukis periuk kera sejak lima tahun lalu disebabkan kagum pada sifat semulajadinya yang tidak pernah berpura-pura mahupun menyamar seperti sesumpah.
“Periuk kera sentiasa menjadi diri sendiri malah ia tidak mengganggu melainkan hidupan itu rela menjadi mangsa untuk dimakan. Saya kira ia satu simbolisme tepat bagi menggambarkan sifat Melayu dan peribumi yang tidak mengganggu melainkan diganggu.
“Selain itu, saya juga melukis periuk kera kerana mahu mencari kelainan dalam berkarya sekali gus memberi kesedaran kepada orang ramai agar memelihara alam sekitar agar hidupan dan tumbuhan liar ini tidak pupus,” katanya.
Pemilik Galeri M Warna di Kampung Sentosa ini berkata, awal permulaan melukis periuk kera beliau sudah menghasilkan lebih 3,000 lukisan daripada pelbagai jenis tumbuhan liar itu. Lukisannya terjual pada harga RM50 hingga RM30,000 bergantung saiz dan material.
“Saya menjual dari harga serendah RM50 bagi saiz kecil untuk dihadiahkan sebagai cenderamata. Saya juga bersyukur kerana karya diiktiraf dan mempunyai kolektor dalam kalangan orang terhormat (VIP),” katanya.
Dibeli walau belum siap
Menurutnya, mata yang menyanjung seni boleh melihat sesuatu karya yang belum lengkap sebagai satu bseni.
Oleh sebab itu terdapat lukisannya yang masih belum siap tetapi telah dibeli dan ditempah daripada kolektor.
Beliau yang merupakan penerima Anugerah Pelukis Aktif pada tahun 2013 ini berkongsi pengalamannya digelar ‘Cikgu Harimau’ dalam kalangan pelajar.
“Dulu saya memang terkenal dengan sifat garang dan bertegas pada anak murid kerana tugas mendidik orang bukan perkara mudah. Dan selepas bersara masa dihabiskan di galeri dan melukis kerana mendapati ia terapi minda yang berkesan untuk pesara,” katanya yang mengajar pendidikan seni ini selama 36 tahun.
0 comments:
Post a Comment