Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 22, 2016

KTD KEPAH 'BERSARA' SELEPAS 36 TAHUN BERKHIDMAT


KTD Kedah ‘bersara’ selepas 36 tahun berkhidmat


Kota Kinabalu - Kapal Tunda Diraja (KTD) KEPAH mengakhiri perkhidmatannya semalam setelah 36 tahun menabur bakti bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Panglima Tentera Laut Malaysia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamaruzaman Ahmad Badaruddin berkata, penamatan perkhidmatan kapal tersebut dilakukan secara rasmi dalam upacara penuh istiadat pelucutan tauliah.

“Upacara ini merupakan satu istiadat yang dilakukan di mana-mana negara di dunia bagi menghargai dan menghormati sumbangan khidmat kapal dan warga kapal.

“Kapal berusia 40 tahun ini telah berkhidmat ​selama 36 tahun dengan TLDM dan saya amat teruja, terharu dan bangga kerana walau pun kapal berkenaan telah berusia, ia masih dalam keadaan baik kerana diselenggara dan dijaga rapi oleh pegawai-pegawai pemerintah dan anak-anak kapal,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada bekas pemerintah dan anak kapal yang telah menjaga kapal tersebut dengan dengan baik.

Kapal KTD KEPAH dibina pada tahun 1976 oleh Asahi Ship Building Yard dan​ ditauliahkan pada 1 Mac 1980 oleh Panglima Tentera Laut keenam, Laksamana Madya Datuk Mohd Zain Mohd Salleh setelah dibeli daripada firma pelabuhan Jurong, Singapura pada tahun 1980.

Kapal tersebut dinamakan sebagai Kapal Tunda Diraja (KTD) KEPAH dengan nombor pengenalan 8 dari nama asalnya ASIATIC SUCCESS.

Berkeluasan 35 meter panjang dan 8 meter lebar, kapal ini berfungsi memberikan bekalan air dan minyak kepada kapal-kapal yang sedang menjalankan operasi di sekitar perairan Sabah agar tempoh pemantauan kapal-kapal TLDM di kawasan operasi dapat dipanjangkan.

Kapal tersebut juga pernah terlibat di dalam beberapa operasi utama di Sabah antaranya Ops Pasir Laut dan Ops Atria di Gugusan Semarang Peninjau dan telah diterajui oleh 27 orang Pegawai Pemerintah.

Pelucutan tauliah ini adalah sebagai usaha TLDM untuk menyusun semula armada yang kini terdiri daripada 15 kelas kapal kepada lima kelas kapal agar ia dapat diselenggara dengan lebih efektif.

“​Ia juga secara tidak langsung akan dapat menjimatkan kos dan penjimatan tersebut akan digunakan ​untuk pembuatan kapal ba​haru sebagai sebahagian daripada pelan '15 to 5'.

“Selain itu, pelan transformasi ini secara tidak langsung akan menentukan usaha kerajaan mengukuh dan emantapkan lagi keselamatan Malaysia Timur khususnya Sabah berada di landasan yang baik,” katanya lagi.


0 comments:

share2