Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 17, 2016

[KUANTAN] TETAPKAN HAD KETIKA BERBELANJA


Tetapkan had ketika berbelanja


Harga tidak banyak berubah namun rata-rata ibu bapa dilihat lebih berjimat-cermat untuk membeli kelengkapan persekolahan anak bagi sesi 2017.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya, di sini semalam mendapati tawaran dan promosi kembali ke sekolah dengan pelbagai harga berpatutan menjadi tarikan buat ibu bapa untuk membeli pakaian seragam anak masing-masing.

Pengurus Pusat Pakaian Hari-Hari di Jalan Dato’ Lim Hoe Lek, Ashikin Nordin, 30 berkata, setakat ini, harga ditawarkan di gedung itu masih berpatutan selaras kualiti ditawarkan.

Menurutnya, dengan jenama sendiri dihasilkan oleh gedung terbabit, kualiti tetap menjadi keutamaan dengan tawaran harga berpatutan untuk ibu bapa yang ingin mendapatkan keperluan persekolahan anak-anak mereka.

“Buat masa ini, sambutan menggalakkan diterima dan tidak menerima rungutan dengan harga ditawarkan di sini.

“Setakat ini, mungkin kita lihat suasana pembelian masih tidak begitu rancak dan kebanyakan pelanggan datang membeli-belah ketika hujung minggu dan mungkin dalam seminggu dua lagi, pelanggan akan lebih ramai untuk mendapatkan keperluan persekolahan anak-anak,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Pasaraya Ten-Ten di Jalan Beserah di sini, Tan Guan Huat berkata, syarikat itu menawarkan promosi menarik untuk pelanggan iaitu polisi insurans percuma bernilai RM10,000 untuk setiap pembelian kelengkapan sekolah RM100 dan ke atas.

“Setakat ini, semakin ramai ibu bapa datang beli belah di sini untuk dapatkan keperluan persekolahan dan mereka berpuas hati dengan harga ditawarkan, sesuai dengan jenama dijual di sini,” katanya.

Seorang peniaga, Khasairi Wahab, 47, pula berkata, dia tidak tahu jika terdapat peningkatan harga untuk pakaian seragam sekolah kerana baru membelinya semalam.

Katanya, dia hanya memperuntukkan RM100 seorang untuk empat anaknya yang berusia tujuh hingga 17 tahun untuk mendapatkan pakaian sekolah masing-masing.

Menurutnya, dia membeli dua pasang pakaian seragam sekolah untuk setiap anaknya dan mengakui perlu berjimat-cermat dan tidak mahu membazir.

“Paling penting, mereka mendapat yang baru dan kualiti pakaian dibeli sesuai dengan harga ditawarkan,” katanya.

Manakala pasangan suami isteri, Mohd Isa Omar, 37 dan Murni Ghazali, 36, berpendapat jenama bukan lagi menjadi keutamaan untuk mendapatkan pakaian seragam anak-anak sesuai dengan peningkatan kos sara hidup buat masa kini.

Mohd Isa berkata, dia menetapkan RM50 untuk sepasang baju seragam setiap sanaknya.

“Saya tak mampu kalau nak beli dari harga tersebut kerana saya ada lima anak yang masih bersekolah dengan empat daripada di peringkat sekolah menengah.

“Kalau dulu mungkin saya dapat beli jenama yang bagus untuk anak namun kini perlu jimat-cermat kerana kos sara hidup makin tinggi dan segalanya serba mahal,” katanya.

Mengakui tiada kenaikan harga ketara bagi pakaian seragam sekolah, Mohd Isa yang bekerja sendiri mula membeli kelengkapan sekolah anak-anaknya semalam.


0 comments:

share2