Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 26, 2016

[JENGKA] RAMAH MESRA PERMOTORAN PAHANG


 Ramah mesra permotoran Pahang


Program Ramah Mesra Permotoran Pahang hari ini menghimpunkan lebih 100 orang wakil kelab dan komuniti permotoran serta pelbagai jabatan dalam usaha merapatkan ukhuwah dan jalinan mesra sesama peserta.

Anjuran Kelab Permotoran Pahang dengan kerjasama Aerorev Superstarz Malaysia, Zero Carbon Malaysia, Majlis Belia daerah Maran, PDRM, Skuad Muda 1JPJ Parlimen Maran, Low Kos Computer dan Restoran BD Maju Amin.

Presiden Kelab Permotoran Pahang, Mohd Rafie Ismail berkata, program ramah mesra ini diadakan bersempena Mega Permotoran 2017 yang bakal diadakan Mei tahun hadapan.

"Majlis suai kenal ini penting sebagai langkah awal mengeratkan jalinan hubungan kalangan peserta kerana Mega Permotoran akan datang bakal direalisasikan sebagai program permotoran terbesar di Pantai Timur.

"Kita juga berharap program ini menjadi yang terbesar di Malaysia. Kita mengharapkan kerjasama pelbagai pihak dan jabatan untuk menjayakan program itu nanti," katanya ketika ditemui di Bandar Pusat Jengka di sini, malam semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Maran, Datuk Mukaram Shah Zainuddin selaku tetamu khas ramah mesra tersebut berkata, program sebegini adalah disokong kerana dapat menjalin hubungan yang baik sesama ahli permotoran.

Begitu pun beliau berharap ianya dapat disusuli atau disertai dengan perkara-perkara kebajikan seperti khidmat masyarakat di kawasan setempat agar memberi manfaat yang maksima.

"Program ini sangat baik kerana mengumpulkan semua anak-anak muda yang minat sukan permotoran. Teruskan usaha murni ini. Cuma kalau boleh di samping kita berseronok dalam permotoran ini jangan lupa lakukan kerja amal dan yang boleh mendatangkan faedah kepada masyarakat.

"Nasihat saya kepada anak muda agar mematuhi peraturan jalan raya. Dan kekalkan keharmonian serta tanggungjawab terhadap negara," katanya yang juga Penaung Auto Speed Owner Club (ASOC) Pahang.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Belia Daerah Maran, Zafril Nasir dan pengarah urusan Aero Rev Superstarz Malaysia , Che Azmi Che Mohamad yang turut memperkenalkan minyak pelincir keluaran syarikat tersebut dengan usaha sama pelakon dan pengarah, Soffi Jikan serta bakal peserta Mentor musim baharu, Kash.


0 comments:

share2