Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 22, 2016

[BENTONG] LEAD SIAP SEDIA HADAPI MUSIM TENGKUJUH


Lead siap sedia hadapi tengkujuh


Demi meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana di kalangan masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bentong telah menganjurkan Program Local Engagement Approach on Disaster (Lead) pada musim tengkujuh tahun ini.

Pegawai APM Daerah Bentong, Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata, Lead merupakan program yang diwujudkan APM khusus untuk komuniti setempat terutamanya di kawasan berisiko ditimpa bencana.

Menurutnya, ia penting bagi mewujudkan pasukan tindakan kecemasan setempat atau lebih dikenali sebagai Pasukan Tindak Balas Kecemasan Peringkat Komuniti (CDERT) di tempat-tempat berisiko.

“APM telah menyasarkan agar kesemua komuniti setempat yang berisiko bencana di daerah ini mempunyai CDERT bagi memenuhi hasrat kesiasagaan awam yang menyeluruh kepada masyarakat.

“Dengan adanya program Lead, pihak kami dapat memberi latihan kesiapsiagaan kepada CDERT dalam menghadapi bencana dan membuat penilaian dan latihan susulan terhadap komuniti setempat yang merupakan peranan utama dalam penubuhannya.

Kami juga membiasakan anggota terlibat dalam pengurusan bencana,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Zulkhairi berkata, masyarakat juga perlu membuat persiapan awal sebelum bencana berlaku, contohnya mempersiapkan dokumen dan pastikan peralatan yang perlu diselamatkan dahulu.

“Mereka perlu sentiasa bersedia menghadapi bencana yang berlaku mengejut dan bersifat kompleks. Ia boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan juga harta benda.

“Kita harap kali ini masyarakat dapat langkah proaktif dengan berpindah ke tempat lebih selamat sebelum bencana menjadi lebih buruk.

"Sebelum ini ramai yang apabila banjir sudah paras pinggang, baru nak pindah sedangkan ketika itu keadaan sudah menjadi kelam kabut dan ia amat menyusahkan," katanya.

Beliau turut berharap program diadakan JPAM menjadi benteng kepada rakyat dalam menghadapi sebarang krisis yang tidak dijangka.


0 comments:

share2