Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 18, 2016

[RAUB] COOP MART BANTU JIMAT PERBELANJAAN PELAJAR UITM


Coop Mart bantu jimat perbelanjaan pelajar UiTM


Kewujudan pasaraya mini Koperasi UiTM Pahang Berhad (Coop Mart) jelas meringankan beban kos pelajar yang mahu mendapatkan perkhidmatan serta keperluan harian mereka.

Rektor UiTM cawangan Pahang, Prof Dr Jamaludin Kasim berkata, usaha berkenaan sememangnya perlu dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.

Menurutnya, ia menepati prinsip UiTM yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian cemerlang dalam pelajaran tetapi juga keperluan pelajar terutamanya yang tinggal di kampus luar bandar.

“Mereka tak perlu keluar untuk dapatkan barangan keperluan kerana majoritinya boleh didapati di Coop Mart. Selain jimatkan masa, pelajar lebih selamat berada dalam kawasan kampus.

“Kita sentiasa berusaha wujud kemudahan kepada lebih 3,000 pelajar di dua kampus UiTM Pahang iaitu di Jengka dan Raub sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pasaraya mini Koperasi UiTM Pahang Berhad (Coop Mart) di sini.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi UiTM Pahang Berhad, Dr Marzuki Ab Rahman berkata, sejak Coop Mart ditubuhkan 24 tahun lalu ia banyak membantu pelajar malah harga barang dan perkhidmatan seperti van sewa yang ditawarkan lebih murah daripada pasaran luar.

“Memiliki 32 kakitangan, sebanyak enam Coop Mart kini beroperasi di Jengka dan sebuah yang baru beroperasi di Kampus Raub ini.

“Kita harap agar kemudahan ini dapat dimanfaatkan pelajar dalam memastikan mereka mudah mendapatkan barangan keperluan dan bijak berjimat dengan berbelanja di Coop Mart,” katanya.


0 comments:

share2