Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 5, 2016

RAKAN MUDA MASJID LATIH MURID JADI SUKARELAWAN


Rakan Muda Masjid latih murid jadi sukarelawan


Muar - Sebagai usaha menggalakkan aktiviti khidmat masyarakat dalam kalangan murid, Sekolah Agama Bukit Gambir (SABG), Tangkak memperkenalkan program Rakan Muda Masjid.

Guru Besarnya, Rugayah Mohamed Yunos berkata, program gotong-royong julung kali diadakan itu dibuat di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di sini.

“Program hari ini (kelmarin) telah mendapat kerjasama pengurusan masjid dalam usaha memupuk semangat dalam kalangan ahli kelab untuk melaksanakan program kebajikan bersama masyarakat,” katanya.

Terdahulu, seramai 50 murid yang juga ahli kelab Nadi Al-Ansor SABG terlibat secara sukarela dalam aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, dalam program itu, ahli kelab terlebih dahulu berkumpul dalam masjid mendengar penerangan mengenai pengurusan masjid, seterusnya melakukan solat duha, membaca surah Al-Kahfi dan doa selamat.

“Mereka kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melakukan kerja membersihkan kawasan ruang solat, tempat ambil wuduk dan pekarangan masjid.

“Kami ingin menerapkan semangat kerjasama dan melakukan kebajikan dalam kalangan ahli kelab, sebagaimana yang mereka telah pelajari ketika di sekolah.

“Mereka dapat praktikkan apa yang dipelajari di kelas dengan mengaplikasikan dalam kehidupan sebenar seperti mengamalkan sikap bantu-membantu dan menjaga kebersihan tempat beribadat serta persekitarannya,” katanya pada program yang disertai 12 guru SABG itu.

Tambah Rugayah, melihat kejayaan penganjuran program itu, beliau yakin ia dapat diperluaskan pada masa akan datang dengan memilih masjid yang berbeza,

Sementara itu, seorang murid, Muhammad Aniq Irfan Misman, 12, berkata, dia mengakui teruja dan seronok dengan pengalaman pertamanya terlibat dalam program berkenaan.

“Melalui penglibatan dalam program Rakan Muda Masjid, saya serta rakan dapat menimba pengalaman dan berkhidmat bersama masyarakat.

“Malah, aktiviti yang dijalankan juga dapat memberikan kesedaran kepada ahli kelab mengenai pentingnya semangat kerjasama dan gotong-royong dalam melakukan kerja kebajikan, ia perlu menjadi amalan sepanjang masa,” katanya


0 comments:

share2