Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 7, 2016

PRESIDEN BAHARU FAM DITENTUKAN 25 MAC DEPAN


Datuk Seri Afandi Hamzah


Teka-teki siapa yang bakal menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal terjawab pada 25 Mac tahun depan apabila diadakan pemilihan jawatankuasa baharu bagi penggal 2017-2021. 

Biarpun Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat kini menjadi nama terbaru dikaitkan dengan jawatan itu, Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, anggota gabungan boleh memikirkan nama yang mahu dicalonkan. 

"Sekarang ini anggota gabungan boleh memikirkan siapa wakil mereka. Kita serahkan kepada mereka," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini. 

Menurutnya pencalonan perlu dikemukakan selewat-lewatnya 23 Jan depan dan senarai akhir pencalonan akan disahkan pada 20 Feb. 

"FAM mempunyai 19 anggota gabungan dengan masing-masing diwakili dua wakil dan satu undi daripada Persatuan Jurulatih menjadikan jumlah keseluruhan undi adalah 39.

"Barisan exco sedia ada tidak boleh menjadi perwakilan kepada anggota gabungan dan membuat pemilihan. 

"Segala keputusan berdasarkan undian anggota gabungan pada sesi pemilihan bagi penggal baharu," katanya sambil menambah pemilihan jawatankuasa baharu itu dibuat sempena Kongres Tahunan kali ke-53 badan induk tersebut. 

Sementara itu, mengenai perkembangan isu pemacu pena yang kononnya mempunyai rekod gejala rasuah dan FAM, Afandi berkata selepas meneliti laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tiada unsur rasuah yang timbul melainkan maklumat mengenai perkara teknikal FAM sahaja. 

"Kita menerima maklumat tentang pemacu pena itu, kita juga dimaklumkan laporan tersebut menyentuh tentang perkara teknikal berkaitan dengan ringkasan pembangunan belia dan pendidikan kejurulatihan. Tiada unsur-unsur lain," katanya. 

Sebelum itu, pemilik kelab Johor Darul Ta'zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa mempunyai pemacu pena yang tersimpan perbuatan rasuah sejak 30 tahun lepas membabitkan pegawai FAM dan ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, yang dikatakan diperoleh daripada orang dalam.

Selain itu, Afandi berkata jawatankuasa undang-undang FAM memperkenalkan peraturan baharu dalam pengurusan pemain yang dikenali sebagai peraturan perantara yang akan berkuat kuasa musim depan. 

"Kita akan membenarkan mana-mana pihak mewakili pemain sama ada secara lantikan individu atau lantikan peguam bagi menguruskan kontrak pemain. 

"Perantara ini perlu mendaftar dengan FAM dan tertakluk pada syarat yang kita telah tetapkan, setakat ini seramai 15 perantara berdaftar dengan FAM," katanya.


0 comments:

share2