Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 24, 2016

POLIS: MARIA CHIN DITAHAN DI BAWAH SOSMA KERANA 1 DOKUMEN


igp-maria


Sepang: Maria Chin Abdullah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berdasarkan penemuan 1 dokumen ketika serbuan ke atas pejabat Bersih di Petaling Jaya, pada Jumaat lalu, kata ketua polis negara.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penahanan Maria tiada kena-mengena dengan politik mahupun perhimpunan Bersih 5.

“Banyak pihak termasuk bekas pemimpin, peguam cuba kelirukan orang ramai. Penahanan Maria, pertama dia disiasat di bawah 2 undang-undang, iaitu melanggar Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

“Pada 18 November lalu juga dalam serbuan polis di pejabat Bersih, kita menemui 1 dokumen yang merupakan petunjuk yang boleh mengugat demokrasi Parlimen,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

“Berdasarkan penemuan dokumen di pejabat Bersih membolehkan kita menahannya selama 28 hari untuk membolehkan kita menyiasat dokumen yang ditemui itu. Kita perlukan masa untuk menyiasat dokumen itu.

“Kita boleh pilih prosedur lain, tetapi kita pilih Sosma sebab tindakan Maria itu serius dan melibatkan keselamatan negara,” katanya yang enggan mendedahkan dokumen ditemui di pejabat Bersih itu.

Khalid berkata, Maria juga pernah mengaku mendapat tajaan Open Society Foundation (OSF) milik George Soros.

Awal bulan ini, Maria memberitahu FMT yang Bersih 2.0 hanya menerima sumbangan RM70,000 sebanyak 1 kali daripada OSF antara 2010 hingga 2011 dan jumlah itu sekadar mewakili 11% daripada pendapatan mereka ketika itu.

Wakil rakyat pembangkang dan beberapa NGO mempersoalkan kewajaran polis membuat tangkapan ketika perhimpunan Bersih 5 diadakan dan penahanan Maria di bawah Sosma.

Maria memfailkan permohonan habeas corpus hari ini untuk dibebaskan, 4 hari selepas ditahan.

Beliau ditahan pada petang Jumaat lalu, menjelang perhimpunan Bersih 5, Sabtu lalu.

Sementara itu, Khalid menafikan polis memberi layanan buruk kepada Maria sepanjang penahanannya di penjara, sebaliknya polis bertindak mengikut undang-undang.

“Kita layan Maria sama sahaja dengan tahanan lain. Antara sebab Maria tidak diberi tilam sebelum ini di penjara disebabkan dia tidak memohon untuk mendapatkan tilam. Sekiranya dia nak tilam, kena buat permohonan.

“Dan hari ini apabila Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) datang melawat. Hari ini dia pohon dan kita bagi,” katanya.


0 comments:

share2