Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 24, 2016

KHALID: JANGAN CABAR POLIS, BILA AMBIL TINDAKAN SEMUA MERAUNG


igp-maria


Sepang: Penganjur himpunan nyalaan lilin atau “vigil” di Dataran Merdeka sejak Isnin lalu bagi mendesak pembebasan Maria Chin Abdullah perlu memberi notis kepada polis mengikut Akta Perhimpunan Aman, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua polis negara juga mengingatkan Bersih 2.0 dan gerakan Baju Merah tidak menganjurkan sebarang perhimpunan haram, jika tidak mahu dikenakan tindakan.

“Jangan ingat bakar lilin malam-malam tak perlu notis. Jangan cuba cabar kita, bila ambil tindakan nanti semua meraung. Tetapi, sampai bila kita nak biar orang langgar undang-undang. Saya sudah kata berani buat, berani tanggung.

“Kami (polis) sudah banyak bersabar tentang perhimpunan haram ini. Kumpulan lain pula ada yang buat provoke bila nak habis. Perkara ini tidak boleh diteruskan.

“Mulai sekarang, kita akan ambil tindakan mana-mana perhimpunan yang melanggar undang-undang negara, termasuk kumpulan yang membakar lilin di dataran,” kata ketua polis negara pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Khalid berkata demikian merujuk penyokong Bersih yang menyertai acara nyalaan lilin bagi mendesak pembebasan pengerusi Bersih 2.0 yang kini dalam tahanan polis dan tindakan ketua gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos bercadang menganjurkan “Bersih 7”.

Selepas dibebaskan semalam, Jamal mengumumkan akan mula menggerakkan kempen “Bersih 7 untuk menyelamatkan Selangor daripada kerajaan pimpinan PKR.

Isnin lalu, ratusan orang berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyertai himpunan nyalaan lilin bagi mendesak pembebasan Maria yang kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Naib Pengerusi Bersih 2.0 (Pantai Barat), Jay Jay Dennis berkata, “vigil” itu akan diadakan setiap malam sehingga Maria dibebaskan, tanpa mengambil kira pihak berkuasa membenarkannya atau tidak.


0 comments:

share2