Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 4, 2016

GURU CABUL MURID: KEMENTERIAN BERTINDAK TEGAS


Guru cabul murid: Kementerian bertindak tegas


Kementerian Pendidikan bertindak tegas ke atas guru yang melanggar undang-undang dan mengingkari pekeliling perkhidmatan seperti kes terbaru cabul melibatkan sembilan murid di sebuah sekolah Tamil di Hulu Selangor, Mei lepas.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi membolehkan tindakan diambil, ia perlu disertakan bukti sahih sebelum pihak kementerian mengambil tindakan dengan sewajarnya.

“Dalam urusan mengambil tindakan ia bukan melibatkan kes pencabulan sahaja tetapi segala kes yang melibatkan jenayah, termasuk kes polis, tindakan mahkamah dan kesalahan yang mana terbukti guru itu didapati bersalah.

“Jika melibatkan perkara sebegini pihak kementerian akan ambil tindakan tegas, termasuk memindahkan guru disyaki ke bahagian pentadbiran untuk satu tempoh tertentu,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, adalah tidak adil bagi segelintir pihak sengaja memperbesar-besarkan isu berhubung kes cabul melibatkan guru kerana ia boleh menimbulkan tanggapan yang salah terhadap profesion tersebut.

Terdahulu, akhbar semalam melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam kenyataan bertulisnya kepada Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) di Dewan Rakyat, Rabu lalu menzahirkan rasa kecewa dan secara peribadi akan meneliti perkara itu.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga berkata, polis masih menyiasat kes membabitkan guru tersebut dan akan bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan murid serta kanak-kanak.


0 comments:

share2