Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 28, 2016

[CHINI] PASAR TANI KEKAL DI CHINI DIJANGKA SIAP PERTENGAHAN 2018




Pasar tani kekal di Chini di sini, yang dianggar menelan kos pembinaan berjumlah RM2 juta dijangka siap dalam tempoh setahun setengah lagi sebelum dapat beroperasi setiap hari.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Datuk Abu Bakar Harun berkata pasar tani kekal yang dibina itu bakal memenuhi keperluan usahawan tani di sekitar Chini dalam memasarkan produk keluaran mereka.

"Tender bagi membina pasar tani di atas tanah seluas satu hektar di bandar Chini di sini akan dikeluarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan apabila siap, saya percaya usahawan tani di sekitar Chini akan mendapat manfaat yang besar kerana berupaya memasarkan produk terus kepada penduduk.

"Ia juga beroperasi setiap hari dan ini memastikan seramai 60,000 penduduk Chini tidak putus bekalan makanan sama ada basah mahupun kering untuk kegunaan mereka," katanya kepada Bernama selepas majlis pecah tanah pasar tani itu di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ahli Lembaga FAMA, Datuk Abdul Shukur Idrus yang juga ADUN Kuang.

Abu Bakar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Felda Pahang berkata seramai 150 usahawan tani bakal ditempatkan di premis tersebut dan kemudahannya boleh dipelbagaikan untuk kegunaan peniaga dan orang ramai.

"Tumpuan pastinya buat golongan belia Chini yang minat berniaga di mana mereka juga boleh menjalankan perniagaan di sekitar kawasan pasar tani kekal ini dan kita juga akan menyedia bantuan perniagaan lain.

"Antaranya ialah payung dan peralatan lain untuk kemudahan mereka atau mengikut trend terkini contohnya jualan car boot atau trak makanan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda," katanya.

Sementara itu, Abdul Shukur berkata pasar tani kekal merupakan kesinambungan projek pembangunan dalam menaik taraf operasi pasar tani runcit sedia ada dan mengatasi kekurangan yang dihadapi sebelum ini.

"Berbanding pasar tani runcit, pasar tani kekal akan menempatkan usahawan tani di bawah satu bumbung untuk menjalankan perniagaan setiap hari dalam suasana selesa dan kondusif tanpa perlu berpindah-randah.

"Persekitaran ini mampu meningkatkan hasil jualan, mengurangkan masalah pemasaran hasil pertanian yang dikeluarkan setiap hari dan mengekalkan fokus pasar tani runcit iaitu menjual produk segar serta berkualiti pada harga berpatutan," katanya.

Abdul Shukur berkata keberkesanan pasar tani kekal telah terbukti dengan nilai jualan sebanyak RM76,640,076.03 yang dicatat oleh sembilan buah pasar tani kekal di negara ini bermula Januari hingga Oktober tahun ini.

"Sembilan buah pasar tani kekal di seluruh negara kini disertai seramai 753 orang usahawan tani.

"Hasil pendapatan yang dicatat setakat ini adalah begitu memberangsangkan dan sebab itu FAMA mengambil insiatif untuk membina lebih banyak premis berkenaan pada masa hadapan," katanya.


0 comments:

share2