Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 20, 2016

[KUANTAN] 'MOHD DANIAL GEMBIRAKAN KAMI'


‘Mohd Danial gembirakan kami’


Sejak berpisah dengan isteri, seorang lelaki tabah membesarkan tiga cahaya matanya termasuk anak bongsu berusia lima tahun yang mengalami cerebral palsy.

Rasidi Aisha, 32, berkata, sebagai bapa, dia tidak pernah berasa terbeban dengan tanggungjawab itu malah gembira melihat anak-anak di depan mata terutamanya Mohd Danial Hazriq, 5, yang memerlukan lebih perhatian.

Menurutnya, walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai anggota polis di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, namun tanggungjawab menjaga makan minum dan pakai anak-anak tidak pernah diabaikan.

“Mohd Danial mengalami cerebral palsy sejak lahir yang memberi kesan kepada otot, pergerakan, penglihatan dan pendengarannya.

“Kecacatan ini dikatakan tiada penawar tetapi Mohd Danial memerlukan rawatan, terapi dan peralatan khas secara berterusan,” katanya.

Rasidi berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Iftar anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Lynas Sdn Bhd di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh.

Menurutnya, anaknya itu sepatutnya menjalani pembedahan mata kerana langsung tidak dapat melihat dan hanya bergantung pada pendengaran, namun terpaksa ditangguhkan.

“Setiap hari dia hanya mampu terbaring di tempat tidur atau duduk dikerusi khasnya sambil dipantau dua lagi adik-beradiknya dan saya atau di rumah pengasuh kerana bimbang terkena sawan,” katanya.

Menurutnya, walaupun Mohd Danial kurang upaya, penjagaannya tidak sukar namun dia akui menjaga anak OKU memerlukan kesabaran tinggi.

“Walaupun tidak seperti kanak-kanak lain seusianya yang boleh berlari dan suap makanan sendiri, banyak keistimewaan ada padanya.

“Sepanjang menjaganya, dia tak banyak meragam kecuali akan menangis jika sakit, lapar dan nak tidur, tangisannya itu sebagai satu cara untuk dia berkomunkasi memandangkan dia tak boleh bercakap," katanya.

Rasidi berkata, walaupun tidak sempurna, Mohd Danial menggembirakan mereka sekeluarga dan memahami percakapan ahli keluarganya.

Katanya, dari segi perbelanjaan dia terpaksa berjimat-cermat kerana kos penjagaan dan rawatan kanak-kanak itu semakin meningkat.

Katanya, segala perbelanjaan rawatan termasuk berjumpa doktor menggunakan wang sendiri dan ada kalanya disebabkan kekangan masa, dia terpaksa membawa anaknya mendapatkan fisioterapi di hospital swasta.

“Setakat ini saya memang tidak mendapat sebarang bantuan sama ada daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun Pusat Zakat walaupun pernah membuat permohonan di JKM namun gagal.

“Dalam tempoh sekarang bantuan amat diperlukan memandangkan kos penjagaan juga sudah meningkat sehingga RM300 dan rawatan serta pemakanan juga ada kalanya menjangkau sehingga RM700 sebulan,” katanya.


0 comments:

share2