Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 12, 2016

SEBAR FAHAMAN SYIAH DI LAMAN SOSIAL


Rahimin Bani


Melaka - Individu yang menyiar atau menyebarkan bahan berkaitan fahaman Syiah atau sebarang ajaran bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di laman sosial digesa supaya berhenti berbuat demikian.

Itu amaran Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kepada mana- mana orang Islam di negeri ini yang menyebarkan fahaman tersebut di laman- laman sosial. 

Menurut Ketua Pegawai Bahagian Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, pihaknya kini sedang memantau beberapa laman sosial berkaitan ajaran tersebut termasuk yang disebarkan di laman-laman sesawang, blog, facebook dan twitter.

"Mana- mana orang Islam di negeri ini yang menyebarkan artikel serta memuat naik tulisan atau gambar berkaitan di mana-mana laman sosial boleh didakwa kerana ia bercanggah dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka 2020.

“Mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana dikira menghina agama Islam dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, Jaim kini sedang memantau dan mengenal pasti aktiviti berkenaan termasuk premis yang dijadikan markas atau tempat berkumpul bagi menjalankan ritual keagamaan yang bertentangan dengan ASWJ.

“Kita juga percaya ada kumpulan ajaran terbabit yang menjalankan aktiviti secara tertutup dan Jaim akan terus mengekang kegiatan berkaitan sehingga boleh menimbulkan ketegangan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Rahimin berkata, dua individu yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam gerakan penyebaran fahaman Syiah di sebuah rumah dekat Kemendor, Jasin kelmarin telah dibebaskan dengan jaminan ahli keluarga.

Menurutnya dua lelaki terbabit berusia 32 dan 54 tahun dikatakan mempunyai hubungan antara anak saudara dengan bapa saudara disyaki mempamerkan fahaman tersebut di facebook serta memasang bendera dan imej yang menggambarkan fahaman bertentangan dengan ASWJ.

“Kita akan berusaha melakukan program pemurnian sebagai susulan kerana mendapati tidak semua ahli keluarga yang mengamalkan ajaran Syiah tersebut.

“Kita juga mengalu-alukan mereka yang terlibat dengan ajaran berkenaan supaya tampil ke Jabatan Mufti bagi program muzakarah dengan tujuan mencari penyelesaian dan kembali kepada penghayatan Islam menurut ASWJ.

“Dalam isu tangkapan semalam, mereka terlibat didapati bukan mempelajari ajaran berkenaan menerusi guru tetapi terikut dengan penyebaran di internet,” katanya.


0 comments:

share2