Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 15, 2016

‘NAK DAPAT RM20 PUN SUSAH'


‘Nak dapat RM20 pun susah’


Sejak bulan lalu, perairan Selat Melaka mengalami fenomena air pasang besar.

Bagi sebahagian penduduk di negara ini, situasi itu mungkin tidak diambil kisah. Namun di sebalik situasi, ada insan yang mungkin menitiskan air mata mengenangkan kesusahan dialami berikutan fenomena terbabit.

Itulah golongan nelayan laut yang mengharapkan sepenuhnya pendapatan menerusi aktiviti menangkap ikan.

Bayangkan, dalam tempoh lama, mereka tidak boleh pergi ke laut mencari rezeki, sedangkan perlu menyara anak isteri di rumah.

Wartawan SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN menyelami nasib golongan ini, semalam.

Fenomena air pasang besar di perairan Selat Melaka sejak bulan lalu, disusuli gelombang ombak yang dijangka mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter sememangnya menjejaskan aktiviti nelayan pantai.

Hanya satu-satunya sumber pendapatan mereka dengan menangkap hasil laut, namun sejak bulan lalu mereka terpaksa menganggur seketika.

Apa yang boleh dilakukan hanya menaruh harapan agar fenomena itu pulih semula, walaupun jauh di sudut hati gusar memikirkan wang simpanan semakin menyusut, lebih-lebih lagi anak bini di rumah perlu disara.

Timbalan Pengerusi Pembangunan Nelayan Pantai Siring di Jasin, Rahim Abdullah berkata, gelombang ombak yang tinggi berikutan angin kencang Barat Daya mengundang risiko kepada nelayan pantai yang menaiki perahu untuk menangkap hasil laut.

“Apa yang ditakutkan kebanyakan nelayan di Melaka adalah tiupan angin dari Barat. Sejak dua minggu kebelakangan ini kita sudah merasai kehadiran angin kuat menyebabkan kita tidak dapat turun ke tengah menjaring ikan dan udang.

“Setakat ini, terdapat lebih 50 nelayan berdaftar di Pantai Siring dan semua menghentikan aktiviti di tengah laut kerana tak mahu ambil risiko dan amat berbahaya,” katanya.

Menurutnya, untuk memastikan mereka tidak keputusan sumber pendapatan, nelayan hanya mampu turun ke pesisir pantai menangkap hasil seperti kupang dan siput, namun pendapatannya tidaklah seberapa.

“Sebenarnya, pada tahun ini kita sudah merasai angin sejak April lalu dan nelayan hanya akan turun ketika angin lemah seperti pada waktu awal pagi. Tapi sejak Oktober, angin bertiup bermula seawal jam 8 dan 9 pagi sampai ke malam.

“Selain angin, pada masa sama berlaku fenomena air pasang besar pada bulan lepas yang dijangka akan berlaku juga pada bulan ini dan ia menyebabkan aktiviti nelayan terhad,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Pantai Siring di Merlimau, Jasin, di sini, semalam.

Rahim berkata, perubahan cuaca di perairan laut akan dimaklumkan Jabatan Laut negeri dari semasa ke semasa selain anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri yang terlibat memantau keadaan berhampiran jeti nelayan.

Pernah pulang dengan tangan kosong

Sementara itu, seorang nelayan, Kasim Hamid, 58, berkata, sejak dua minggu lalu, purata ketinggian ombak mencecah 2.8 meter melebihi paras maksima dua meter yang menghalang nelayan menjaring sehingga ke Pulau Undan dengan jarak tujuh batu nautika dari Jeti Umbai.

“Yang menjadi masalah bukanlah air pasang besar tapi gelombang yang tinggi yang menyebabkan nelayan takut-takut untuk menangkap ikan sebab selain merbahaya, cuaca begini boleh merosakkan jaring. Kalau cuaca elok, gelombang tak sampai pun satu meter.

“Keadaan begini juga menjejaskan pendapatan nelayan dan menyebabkan sebahagian besar terpaksa melakukan kerja separuh masa yang lain selain ada yang gunakan kesempatan untuk membersihkan perahu dan membaiki jaring,” katanya ketika ditemui di Jeti Umbai, Jasin, di sini, semalam.

Bagi seorang nelayan Muara Sungai Duyong, Ayob Taib, 68, berkata, dia mengalami penyusutan pendapatan berbanding perolehan RM100 hingga RM200 sehari sebelum perubahan cuaca berlaku ketara dua minggu lalu.

“Sekarang ini nak dapat RM20 sehari pun susah dan pernah tak dapat sesen pun. Kadang-kadang bila turun (ke laut) tapi tak boleh lama bila mula rasa angin dah nak sampai. Itu yang kadang sejam dua saja di laut kemudian balik kosong (tiada hasil).

“Dah seminggu saya tak turun langsung ke laut. Sebelum ini, kalau ada angin paling jauh pergi pun dalam jarak 500 meter tapi sejak angin kuat, saya main tepi saja..kutip kupang dan siput,” katanya yang bekerja separuh masa sebagai penggali kubur.

Amaran Jabatan Meteorologi

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam laman web mengeluarkan amaran angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer/jam (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dijangka berlaku di perairan tujuh negeri termasuk Melaka.

Amaran angin kencang dan laut bergelora bermula hari ini sehingga 10 Oktober ini melibatkan kawasan perairan antaranya di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu & Miri), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat & Sandakan), Selat Melaka Utara.

Menurut laman web yang dikemas kini pada jam 2.15 petang semalam, keadaan angin kencang dan laut bergelora berkenaan adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.


0 comments:

share2