Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 10, 2016

[MARAN] SANGGUP PANJAT BUMBUNG, TIDUR DALAM REBAN


Sanggup panjat bumbung, tidur dalam reban


Mengaku anggota unit tertentu, memberi alasan sakit dan helah bapa sedang nazak antara alasan diberikan penagih dadah sebagai taktik melepaskan diri dari ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), awal pagi tadi.

Pemangku Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Negeri Pahang Zulkapli@Zulkipli Muhammad berkata, ada yang lari memanjat bumbung, menyorok bawah tilam dan tidur dalam reban ayam, untuk meloloskan diri.

Namun, helah digunakan gagal apabila anggota AADK berjaya memberkas mereka dalam Operasi Cegah bermula jam 2 hingga 6 pagi yang turut disertai para petugas media itu.

"Operasi yang dijalankan di Felda Sungai Nerek, Jengka 15, Jengka 16, Jengka 17 dan Jengka 19 itu berjaya menahan 35 individu. Seorang wanita dan bayi berusia enam bulan antara yang ditahan dan dibawa ke pejabat AADK Daerah Maran, untuk siasatan.

"Selama empat jam operasi, ada ibu bapa dan OKP (orang kena pengawasan) yang memberi kerjasama dan ada yang tidak.

"Apabila kita minta buka pintu mereka tidak mahu buka malah ada yang menyorokkan anak mereka di dalam rumah. Selepas ini kita berharap ibu bapa memberikan kerjasama kerana AADK menahan mereka adalah untuk langkah pencegahan dan menjalani rawatan pemulihan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Ops Cegah di Pejabat AADK Maran, di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Maran, Adelina Abdul berkata, operasi dijalankan dengan kekuatan 45 anggota AADK Negeri Pahang cawangan Maran, Kuantan, Temerloh dan Pekan.

Kesemua tangkapan dibuat di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (APD) Rawatan Dan Pemulihan 1983 pindaan 1998.

"Mereka yang melanggar syarat pengawasan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada hari yang sama.

"Di Felda Sungai Nerek sepasang adik beradik dan bapa saudara serta anak saudara antara yang ditangkap untuk dibawa ke proses pemulihan.

"Kami akan menempatkan kes di mana-mana pusat serenti. Seramai sembilan orang akan dihantar ke Pusat Serenti CCRC (Cure & Care Rehabilitation Centre) Gambang dan lima orang ke CCRC Benta," katanya.


0 comments:

share2