Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 10, 2016

[KUANTAN] 25 PASANGAN NIKAH BERAMAI-RAMAI


25 pasangan nikah beramai-ramai


Wanita mualaf antara pengantin dinikahkan pada Program Jom Nikah anjuran Kelab Kerjayanita yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini.

Siti Aisyah Abdullah, 21, berkata, dia memeluk Islam tiga tahun lalu dan bersyukur kerana pernikahannya dengan suami, Muhamad Zulfadli Mohamed Ghazali, 23, yang dikenali setahun lalu berjalan lancar.

“Saya begitu teruja menjadi peserta majlis akad nikah beramai-ramai ini dan kenangan ini akan kekal seumur hidup.

“Alhamdulillah, semua dipermudahkan, saya dan suami bersyukur kerana impian untuk mendirikan rumah tangga dimakbulkan,” katanya.

Pasangan itu antara 25 pasangan pengantin yang dinikahkan secara beramai-ramai pada Program Jom Nikah anjuran Kelab Kerjayanita.

Pada majlis itu, kesemua pengantin dinikahkan oleh enam jurunikah sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Siti Aisyah berkata, lebih menggembirakan, perkahwinan mereka direstui kedua-dua keluarga walaupun berkahwin pada usia muda.

Katanya, majlis perkahwinan beramai-ramai itu tidak akan dilupakan kerana ia saat paling berharga buat dirinya dan suami.

Sementara itu, Muhamad Zulfadli berkata, dia hanya mengeluarkan sebanyak RM2,500, dan program itu amat bermakna kepada pasangan muda.

“Tawaran diberikan ini memang terbaik terutama bagi pasangan muda yang berdepan masalah kewangan untuk mendirikan rumah tangga, jadi sebab itulah saya dan isteri memilih menyertai program ini.

“Namun apa yang penting mendapat restu ibu bapa dan keluarga daripada kedua-dua belah pihak. Jodoh akan datang juga cepat atau lambat. Bagi pasangan muda yang ingin berkahwin, teruskan niat jika sudah bersedia,” katanya.


0 comments:

share2