Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 19, 2016

[KUANTAN] REMAJA BAWAH UMUR DICEKUP


Remaja bawah umur dicekup


Dua termasuk seorang remaja bawah umur ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi motosikal di daerah ini.

Susulan penahanan suspek berusia 16 dan 21 tahun itu, polis menemui dan merampas tiga motosikal dicuri yang disorok di lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejayaan itu susulan tindakan pihaknya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menahan suspek untuk pemeriksaan di Batu 3 Jalan Gambang di sini kira-kira jam 11.50 malam kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas motosikal jenis Kawasaki RR yang digunakan mendapati ia kenderaan curi yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini.

Katanya bertindak atas maklumat, sepasukan angota diketuai seorang pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah ke satu lokasi di Lorong Tun Ismail di sini dengan dipandu arah suspek.

“Suspek menunjukkan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z di hadapan sebuah premis salun kecantikan.

“Hasil semakan mendapati motosikal tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pernah dilaporkan hilang di daerah ini,” katanya.

Abdul Aziz berkata, suspek mengaku mencuri motosikal tersebut dan ditinggalkan di kawasan itu.

Katanya, suspek sekali lagi membawa polis ke satu lokasi di kampung Kurnia di sini kira-kira jam jam 3.15 petang sebelum menunjukkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang turut dicuri.

“Suspek dan motosikal yang dirampas di bawa ke balai untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun keseksaan kerana kesalahan curi kenderaan.

“Kita juga sedang mengenal pasti sama ada suspek turut terlibat dalam kes-kes curi motosikal lain yang dilaporkan berlaku di daerah ini,” katanya.


0 comments:

share2