Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 6, 2016

[KUANTAN] HOSPITAL SWASTA PERTAMA TAWAR PEMERIKSAAN JANTUNG


Hospital swasta pertama tawar pemeriksaan jantung


KPJ Pahang Specialist Hospital merupakan hospital swasta pertama di negeri ini yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan jantung dan bakal menjadi pusat pembedahan jantung tidak lama lagi.

Pengerusi KJP Healthcare Berhad, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, perkhidmatan menyeluruh itu dikendalikan pakar perunding jantung dengan sokongan rawatan angiogram dan angioplasty.

Menurutnya, dengan adanya perkhidmatan tersebut, pihaknya yakin mampu melaksanakan pembedahan jantung di hospital berkenaan.

“Dengan pakar yang ada, KJP Pahang berupaya mengendalikan pembedahan jantung dalam beberapa tempoh akan datang.

“Kesemua perkhidmatan ini dijangka akan menaikkan lagi Kuantan sebagai negeri yang menyediakan perkhidmatan kesihatan yang disegani,”katanya pada Majlis Perasmian KPJ Pahang Specialist Hospital, di Tanjung Lumpur.

Majlis disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Kamaruzzaman berkata, selain menyediakan perkhidmatan perubatan terbaik, pihaknya optimis untuk terlibat dengan Pelancongan Kesihatan yang mampu menarik lebih ramai pelancong dan pelabur ke negeri ini.

Jelasnya, ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Pahang 2017.

“KPJ Pahang mempunyai 200 katil dan merupakan hospital ke 26 yang dibina di seluruh negara dengan kos RM110 juta.

“Hospital 11 tingkat ini dilengkapi dengan peralatan perubatan moden serta mengikut piawaian antarabangsa,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi KPJ Pahang, Abdul Wahab Baba berkata, bangunan lama hospital di Jalan Alor Akar akan dijadikan Pusat Onkologi dan Radioterapi bagi memenuhi keperluan pesakit di Pantai Timur.

Beliau berkata, untuk fasa pertama, pihaknya memperuntukkan RM10 hingga 12 juta bagi menyediakan peralatan perubatan tersebut.

“Ia dijangka akan beroperasi pertengahan tahun hadapan,”katanya.


0 comments:

share2