Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 2, 2016

KERAJAAN DAN PEMBANGKANG PERLU SOKONG AKTA PERBELANJAAN


Datuk Irmohizam Ibrahim


Kuala Lumpur - Pihak kerajaan dan pembangkang perlu menyokong usaha Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) dalam cadangan memperkenal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, akta tersebut perlu dilaksanakan agar rakyat mendapat gambaran mengenai parti dan ahli politik masing-masing.

"Akta ini perlu disambut baik semua pihak dan diharap agar kajian mengenai kaedah kawal selia sumbangan dan dana politik ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia adalah efektif.

"Sebelum ini, pihak pembangkang tidak mempersetujui cadangan sumbangan politik dipantau oleh pihak yang neutral dan objektif agar kaedah sumbangan lebih telus," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mewujudkan JKNMPP adalah tepat dalam memastikan tadbir urus politik menjadi lebih baik.

Semalam, JKNMPP menggariskan 32 cadangan termasuk memperkenal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk penambahbaikan soal integriti dan pembiayaan politik.

Pengerusinya, Datuk Paul Low Seng Kuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata cadangan tersebut akan dibawa ke Kabinet dalam tempoh dua minggu lagi sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.

Sementara itu di KOTA BHARU, Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, pembangkang hanya 'bermain wayang' berhubung perkara tersebut dan mereka sepatutnya membuat kajian secara mendalam dan bukannya terus 'melatah' dan membantah cadangan JKNMPP itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Perdagangan Sempadan Asean yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Thailand, Winichai Chaemchang, Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Dzulkifli Mahmud.

Chua berkata pembangkang seharusnya tidak mempunyai rasa takut terhadap cadangan tersebut.

"Pada masa dahulu semasa kita mengkaji akta pembiayaan politik, pembangkang jugalah yang membantah, dan kali ini selepas kajian dikeluarkan mereka masih ada respons yang sama. Tapi bila ada kes-kes membabitkan pembiayaan politik mereka menuduh ia tidak adil," katanya.


0 comments:

share2