Penternak dan pemilik haiwan ternakan di Felda Kota Gelanggi 3 di sini tetap bimbang keselamatan haiwan ternakan mereka berikutan kemunculan harimau dahan di kawasan penempatan mereka, kelmarin.
Walaupun, harimau itu berjaya ditangkap, penduduk bimbang kemungkinan akan ada lagi haiwan liar seumpama itu masuk berkeliaran di kawasan kampung dan menjadikan haiwan ternakan sebagai sasaran.
Seorang penduduk, Pitun Abdul Majis, 54, berkata, dia ada menternak kambing, lembu, kerbau dan ayam bimbang ternakannya menjadi mangsa haiwan pemangsa berkenaan.
“Makcik memang suka bela binatang ternakan tapi bila ada harimau ni, makcik bimbang. Ada orang kata, harimau tu dah beberapa hari berkeliaran di kawasan kampung. Ada pekerja asing terserempak dengan harimau tu di sebuah kandang kambing penduduk sini. Tapi, betul atau tak tu makcik tak pasti,” katanya.
Tambahnya, penduduk tanah rancangan itu sebenarnya sudah biasa dengan kehadiran hidupan liar di sekeliling mereka seperti gajah dan harimau bintang sejak hutan di sekeliling tanah rancangan itu ‘diusik’ untuk tujuan pembalakan.
“Pernah gajah masuk dusun durian makcik. Jaraknya tak jauh dari rumah makcik ni. Kami memang dah biasa. Tapi, ini kali pertama harimau datang ke kawasan perumahan kami,” katanya sambil memberitahu kemunculan harimau dahan di kawasan rumah salah seorang peneroka kelmarin mungkin ada kaitan dengan sesuatu aktiviti di dalam hutan berhampiran tanah rancangan itu sejak kebelakangan ini.
Katanya, penduduk mendakwa sering mendengar bunyi seakan-akan letupan disusuli gegaran dari arah hutan berhampiran Gua Kota Gelanggi pada waktu tengahari hampir setiap hari.
Menurutnya, sebelum ini pernah ada aktiviti kuari di sekitar kawasan gua tersebut namun projek kuari terbabit dikatakan telah lama tamat.
“Sekarang ni kami tertanya-tanya dengan bunyi letupan tu. Apakah sebenarnya yang berlaku dalam hutan berhampiran kawasan kami ni? Mungkin sebab itulah harimau tu ketakutan lalu datang mencari makanan di kawasan kampung,” katanya.
sementara, Yah Mohamad, 62, bersyukur kerana haiwan ternakannya di belakang rumah terselamat daripada menjadi mangsa harimau tersebut.
“Lega bila dapat tahu harimau tu dah ditangkap. Tapi, dalam masa sama ada juga rasa bimbang kalau ada lagi haiwan seperti tu datang ke kawasan rumah kami ini.
“Kami dah biasa dengan musang dan babi. Tapi, inilah kali pertama berhadapan dengan harimau. Kami tidak terlalu bimbang kalau ternakan yang terjejas, apa lebih membimbangkan adalah keselamatan anak cucu yang masih kecil,” katanya sekali gus berharap kejadian seumpama itu tidak berulang kerana apa yang penting adalah keselamatan nyawa mereka sebagai penduduk di tanah rancangan terbabit.
0 comments:
Post a Comment