Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 26, 2016

[JENGKA] ISTERI RAYU BANTU KESAN SUAMI


Isteri rayu bantu kesan suami


Isteri kepada seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas mengeluarkan wang hasil perniagaan, merayu orang ramai supaya menghubunginya sekiranya mengetahui maklumat tentang suaminya itu.

Sazarina Mat Saad, 34, guru di sebuah sekolah rendah di sini berkata, dia risau dan tertekan dengan nasib suaminya selepas pelbagai spekulasi dikaitkan dengan kehilangan itu.

Menurutnya, ada pihak dakwa suaminya diculik dan ada juga kata lelaki itu mungkin ke luar negara tinggalkan dia dan anak-anak serta macam-macam dakwaan.

“Saya bimbang sesuatu yang buruk betul-betul berlaku kepada suami. Dua anak berusia lima tahun dan setahun tujuh bulan dah mula rindu dan selalu tanya bila papanya balik,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu bapanya di Felda Jengka 15 di sini, semalam.

Suaminya, Mohd Shahreman Mohd Shah, 36, seorang ahli perniagaan dilaporkan hilang, 17 Oktober lalu selepas melakukan pengeluaran wang lebih RM50,000 di dua bank berasingan di daerah ini, pada hari sama sebelum kehilangannya menjadi viral di media sosial. Sehari selepas kehilangannya, kenderaan jenis Ford Ranger milik Mohd Shareman ditemui di belakang sebuah premis perniagaan di Bandar Temerloh.

Sazarina berkata, adiknya Mohd Asyraf membuat satu lagi laporan polis selepas penemuan kereta suaminya selain turut menjumpai parang dalam kenderaan tersebut.

“Sudah sembilan hari dia hilang dan langsung tak dapat dihubungi. Saya takut dia kena ugut. Sejak dua tahun lalu dia memang akan meninggalkan saya dan anak-anak di rumah ibu bapa pada hari dia mengeluarkan wang untuk urusan bayaran lain. Biasanya dia berurusan seharian dan jemput kami semula. Tapi pada 17 Oktober itu, dia tak balik sampai malam,” katanya.

Sehubungan itu, Sazarina berharap masyarakat membantu pihak polis dan keluarganya untuk mengesan suaminya.

“Walau dalam keadaan apa sekali pun saya ingin tahu khabar suami. Saya doakan beliau baik-baik sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mat Rizal Mat Radzi berkata, kes disiasat di bawah Kertas Siasatan Orang Hilang.

“Kita sudah meneliti kamera litar tertutup di kedua-dua bank dan kamera litar bandar selain mengambil keterangan pengurus-pengurus bank dan orang terdekat. Setakat ini siasatan mendapati dia ada mengeluarkan wang seorang diri dan dalam keadaan yang baik tanpa mencurigakan.

“Semakan dengan pihak telekomunikasi pula mendapati talian dimatikan pada tarikh 17 Oktober. Mangsa menggunakan dua talian telefon dan butiran lengkap mengenai panggilan keluar masuk atau mesej belum diperoleh. Kes ini masih dalam siasatan dan tiada unsur jenayah seperti ugut kerana keluarga tidak menerima sebarang panggilan dari mana-mana pihak. Hubungan mangsa dengan masyarakat sekeliling juga baik. Siasatan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berharap orang ramai menghentikan spekulasi dan menyerahkan kes ini kepada pihak polis agar tidak memberikan tekanan kepada pihak keluarga.


0 comments:

share2