Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 10, 2016

IMPIAN BERGELAR JURUTERA JADI KENYATAAN


Impian bergelar jurutera jadi kenyataan


Sejak kecil lagi, Mohd Zikri Md Zaini, sudah menyimpan impian bergelar jurutera, suatu hari nanti. Anak kelahiran Kedah, yang dibesarkan di Sungai Buloh, Selangor itu bertuah, kerana laluannya untuk mengejar cita-citanya, dipermudahkan apabila berjaya melanjutkan pengajian, dalam Diploma Kejuruteraan Awam di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Selepas menamatkan pengajian pada 2006, Mohd Zikri, 31, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ZYQ Engineering Sdn Bhd (ZYQ Engineering), memulakan kerjaya di sebuah syarikat pembinaan terkemuka di Petaling Jaya, Selangor.

“Walaupun bekerja pada siang hari, saya meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, sepenuh masa pada sebelah malamnya.

“Seawal jam 6 pagi, saya sudah keluar bekerja di Kuala Lumpur dan jam 6 petang, saya perlu berada di kelas. Walaupun letih berulang-alik setiap hari, tetapi memikirkan segulung ijazah yang bakal dalam genggaman, membuatkan saya kuat untuk mengejar cita-cita saya,” katanya.

Tiga tahun kemudian, Mohd Zikri terpaksa membuat pilihan sukar, apabila beliau ditukarkan ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, untuk menguruskan projek syarikat di sana.

“Memandangkan saya belum tamat pengajian di sini, saya dapatkan pandangan keluarga. Mereka menasihatkan saya menerima pertukaran itu dan berhenti belajar.

“Namun, apabila memikirkan pengajian saya yang sudah separuh jalan, saya ambil keputusan melepaskan pertukaran itu dan berhenti kerja,” katanya.

Dari sini, bermulalah episod kehidupan baharu Mohd Zikri, yang membuka matanya dalam dunia hartanah, apabila diterima bekerja di Lembaga Zakat Selangor (LZS), sebagai pegawai teknikal, pada 2009.

“Ketika itu, saya sebenarnya terdesak mencari kerja kerana terpaksa menanggung yuran pengajian dan menyara keluarga, selepas berhenti kerja.

“Saya juga pernah menjual buku, bubur ayam dan ayam goreng di pasar malam untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Mohd Zikri bersyukur kerana beliau berpeluang berkhidmat di jabatan baharu yang ditubuhkan LZS, Jabatan Pengurusan Hartanah, yang bertanggungjawab menyelenggara dan membangunkan rumah asnaf serta fakir miskin di Selangor.

“Di sini, saya banyak mengkaji jenis rumah bantuan kerajaan dan perumahan rakyat, bagi melihat bagaimana untuk memberi sumbangan kepada golongan asnaf dan fakir miskin di Selangor.

“Saya mula memikirkan cara untuk meminimumkan bajet, tetapi terjamin dari segi kualiti dan pada masa sama, boleh membantu lebih ramai golongan asnaf dan fakir miskin,” katanya.

Sepanjang lima tahun bersama LZS, sebanyak 400 rumah asnaf dan fakir miskin berjaya diselia Mohd Zikri.

Pada 2012, Mohd Zikri menubuhkan ZYQ Engineering, dengan matlamat membantu golongan pertengahan untuk memiliki kediaman sendiri, pada harga mampu milik.

“Sebelum ini, saya fokus kepada perniagaan mengecat rumah sejak 2007 dan mengendalikan perniagaan menyelenggara rumah. Perniagaan itu dilakukan ketika saya masih bekerja makan gaji, dengan syarikat pembinaan terkemuka,” katanya.

Sehingga kini, ZYQ Engineering sudah berjaya membina lebih 100 buah rumah pelanggan di seluruh Malaysia, tidak termasuk Sabah dan Sarawak.

Semua kediaman itu dibina menggunakan struktur bangunan dari Sistem Binaan Berindustri (IBS), yang dikeluarkan anak syarikat ZYQ Engineering, ZYQ Manufacturing Sdn Bhd.

Sistem IBS milik syarikat itu sudah mendapat pengiktirafan daripada Sirim dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.


0 comments:

share2