Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 19, 2016

19 BALAI BOMBA BAHARU AKAN DIBINA


19 balai bomba baharu akan dibina


Kemaman - Sebanyak 19 buah balai bomba dan penyelamat (BBP) baharu akan dibina di seluruh negara pada tahun ini sebagai tambahan kepada 282 buah BBP sedia ada.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Yusof Sidek berkata, daripada jumlah itu, negeri yang paling banyak menerima BBP baharu adalah di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, ketika ini sebanyak 40 projek pembinaan BBP baharu sedang berjalan termasuk 19 projek yang dimulakan tahun ini.

“Kita jangka keseluruhan 40 projek pembinaan BBP baharu ini akan siap keseluruhannya pada 2018 dan apabila kesemuanya siap nanti jumlah BBP yang kita miliki bertambah kepada 322 buah,” katanya pada majlis penyerahan BBP Kijal yang disampaikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, kelmarin.

Pada majlis itu, Yusof menerima replika kunci daripada Pengarah JKR Terengganu, Ir Ab Hamid Md Daud sebagai simbolik penyerahan secara rasmi balai itu kepada pihak bomba.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, Azlimin Mat Noor dan Timbalan Pengarahnya, Sharikan Bustaman.

BBP Kijal yang bernilai RM5 juta siap sepenuhnya pada 30 Ogos lalu selepas projek pembinaannya dimulakan pada 18 Jun 2014.

Yusof berkata, kemudahan balai bomba sememangnya amat diperlukan di kawasan Kijal berikutan ia merupakan sebuah kawasan industri yang menempatkan lima buah kilang besar.

“Dengan adanya balai bomba baharu, kawasan ini dilindungi dan pihak bomba dapat memberi respons kurang dari 10 minit jika berlaku apa-apa kes kecemasan.

“Sebelum ini jika berlaku apa-apa kes di Kijal, BBP Kerteh ambil masa lebih 10 minit untuk sampai ke sini dan BBP Chukai pula ambil masa kira-kira 20 minit untuk ke Pelabuhan Kemaman yang terletak di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kijal,” katanya.

Justeru itu katanya, kedudukan BBP Kijal itu adalah sangat strategik kerana selain terletak bersebelahan Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, kawasan Bandar Baru Kijal juga sedang pesat membangun.

"Ia memberi keyakinan dari segi keselamatan kepada pelabur dan pihak luar yang berminat untuk terlibat dengan projek pembangunan di kawasan itu.

"BBP Kijal dijangka akan memulakan operasi pada 1 November ini dengan kekuatan 30 anggota dan minimum dua jentera," katanya.


0 comments:

share2