Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 19, 2016

UMNO RAPUH HANYA DAKWAAN PEMBANGKANG


Abu Bakar Ghani


Kuala Terengganu – Umno dan BN tidak perlu melatah dengan sebarang ramalan dan agenda pembangkang yang cuba mewujudkan perang saraf termasuk penyebaran maklumat kononnya parti kerajaan berada dalam keadaan tergugat dan rapuh.

Penceramah Umno Terengganu, Abu Bakar Ghani berkata, apa yang penting, Umno perlu memperkuat dalaman parti bagi memastikan mereka bersiap sedia berhadapan sebarang bentuk cabaran dan ancaman dari luar.

Menurutnya, persiapan dan usaha memperkuat parti mampu membantu Umno dan BN kekal utuh menjelang PRU14.

“Itu hanya ramalan politik, kadang-kadang tidak tepat. Macam PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, pada mulanya pembangkang kata mereka mampu rampas kerusi tetapi tiba-tiba BN buat kejutan apabila majoriti undi di kedua-dua tempat dapat ditingkatkan berbanding PRU13 iaitu 6,969 (Kuala Kangsar) dan 9,191 di Sungai Besar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini. 

Beliau turut memberitahu bahawa Umno dan BN akan bertambah kuat dan yakin pembangkang tidak akan bersatu sehingga menjelang PRU14.

Jelasnya, dengan kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia hanya mewujudkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan pembangkang lebih-lebih lagi beberapa parti pembangkang turut berbalah sesama sendiri.

Sementara itu, Abu Bakar yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Umno Bahagian Kuala Nerus memberitahu bahawa BN adalah satu parti kukuh dalam dunia ketika ini kerana mampu bertahan lama sebagai sebuah kerajaan sehingga hari ini.

Jelasnya, di beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat sendiri, sesebuah parti hanya bertahan beberapa penggal sahaja sebelum dimenangi parti lawan.

“PRU13 yang lepas BN masih menang walaupun ada negeri yang terlepas kepada pembangkang.

“Kalau di negara luar, contohnya di Amerika Syarikat, parti bertukar sama ada Republikan atau Demokrat. Begitu juga di Australia, parti Buruh dan Liberal bergilir menjadi kerajaan tetapi di negara ini, 13 kali pilihan raya, BN tetap menang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau tetap yakin dengan potensi kemenangan BN untuk terus mentadbir kerajaan pada PRU akan datang.


0 comments:

share2