Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 19, 2016

TEKUN BELA NASIB PENIAGA


Tekun bela nasib peniaga


Tuduhan sesetengah pihak mengenai peranan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional yang semakin hilang terutama setelah mengetatkan syarat permohonan pinjaman sehingga menyukarkan peniaga untuk meminjam, seakan meleset.

Hasil temu bual bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan (Bahagian Operasi) Tekun, Azri Ibrahim, mendedahkan jumlah peminjam sehingga pertengahan tahun ini mencecah 31,498 pemohon dengan nilai pinjaman RM400 juta dan jumlahnya akan bertambah sehingga hujung tahun.

Menurut Azri, tiada istilah Tekun menekan peniaga dalam permohonan pinjaman, sebaliknya menambah baik proses untuk peniaga dan usahawan mendapatkan pembiayaan.

Malah hasil tinjauan Sinar Harian ke atas beberapa peniaga juga memberi komen positif terhadap peranan Tekun, sekali gus menepis dakwaan negatif sebelum ini.

Rata-rata mengakui dana yang diperoleh amat membantu mereka dalam mengembangkan perniagaan, juga memuji kelancaran proses pinjaman berbanding syarikat kewangan lain.

Empat kali dapat pinjaman

Kornia Enterprise, sebuah syarikat pemborong pakaian menerusi jenama Koleksi Kornia, berjaya mengembangkan perniagaannya ke skala lebih besar hasil dana pinjaman Tekun sejak lapan tahun lalu.

Pengasasnya, Kornia Naiee berkata, sudah empat kali dia mendapatkan modal perniagaan daripada Tekun yang mana semakin lama semakin meningkat jumlah pinjamannya.

“Ketika mula-mula saya mohon sebanyak RM10,000 berjaya disalurkan untuk membeli peralatan perniagaan. Dalam masa setahun saya berjaya langsaikan pinjaman itu walaupun tempoh bayaran semula selama lima tahun.

“Kemudian saya membuat pinjaman semula pada dua tahun lalu, saya berjaya meminjam RM100,000 untuk tujuan yang sama mengembangkan perniagaan. Semua proses amat mudah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, syarat permohonan yang mudah untuk diikuti memberikan kemudahan kepadanya untuk mengulang kembali mendapatkan dana Tekun.

“Tiada istilah Tekun menekan peniaga atau syarat menyusahkan peniaga. Selama saya berurusan dengan Tekun semuanya berjalan dengan baik.

“Daripada dana Tekun itulah, saya dapat menambah kedai bazar daripada satu kepada empat kedai dan syarikat borong yang mula dikenali,” katanya.

Kornia berkata, masalah yang banyak berlaku apabila peniaga yang mencari masalah dengan tidak membayar semula pinjaman sehingga menyukarkan urusan mereka dengan Tekun.

“Jika ada masalah, saya cadangkan berbincang dengan Tekun kerana berdasarkan pengalaman saya, segala masalah boleh di bawa berbincang.

“Dan jika boleh bayar segera, lebih baik bayar pinjaman dengan kadar segera tidak perlu tunggu tempoh yang diberikan kerana peniaga berpeluang lagi mendapatkan dana lebih tinggi daripada Tekun,” katanya.

Proses pinjaman mudah

Seorang lagi usahawan yang memiliki syarikat percetakan dan pengiklanan di Seremban, Printeam (M) Sdn Bhd, M Thirunaukarasu berkata, syarat pinjaman Tekun yang mudah menyebabkan dia memilih badan tersebut untuk mendapatkan dana bagi mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, sejak 2006 hingga kini, sudah tiga kali permohonan pinjaman dilakukan dan semuanya telah diluluskan.

"Memang sebelum saya buat pinjaman dengan Tekun, ramai peniaga mendakwa sukar dapat pinjaman dengan pihak tersebut, tetapi segala dakwaan tersebut tidak benar.

"Semua urusan pinjaman diuruskan dengan mudah tanpa syarat yang ketat. Dokumen yang diperlukan, saya sertakan semuanya kerana sebagai peniaga segala dokumen diperlukan memang penting untuk masa depan perniagaan kita," katanya kepada wartawan.

Tambahnya, syarat yang dikenakan Tekun bukan untuk membebankan peniaga tetapi demi melihat peniaga tersebut menjadi usahawan berjaya di masa akan datang.

"Contohnya saya sendiri, daripada Enterprise, pada 2014 perniagaan sudah bertukar kepada Sdn Bhd hasil bantuan pinjaman daripada pihak Tekun," katanya yang kini mempunyai dua syarikat.

Selain itu, proses urusan dan rekod yang baik dengan Tekun, membolehkan Thirunaukarasu membantu 56 peniaga kecilan di Seremban mendapatkan dana Tekun.

"Jumlah pinjaman untuk kesemua peniaga tersebut sebanyak RM1.15 juta dalam masa enam bulan. Saya akan pastikan peniaga yang meminjam itu akan melunaskan kembali pembiayaan.

"Adalah perlu setiap yang meminjam membayar semula pinjaman agar pada masa akan datang, Tekun membuka lagi peluang untuk meminjam," katanya.

Hanya MyKad dan lesen perniagaan diperlukan

Bagi Elena Portelipo, pemilik Kedai Jahit Elin, dia hanya perlu menyediakan kad pengenalan (MyKad) dan lesen perniagaan sahaja ketika memohon pinjaman Tekun dalam dua tahun lalu.

Menurutnya, proses pinjaman sangat mudah di mana, dia meminjam RM5,000 dan kelulusan diperoleh dalam masa kurang sebulan.

"Tujuan saya pinjam ketika itu adalah untuk memajukan perniagaan untuk membeli mesin jahit baharu.

"Alhamdulillah dengan adanya dana tersebut membantu kerja saya dalam urusan jahitan ini," katanya.

Kini sudah dua tahun Elena membayar pembiayaan dan hanya berbaki beberapa tahun lagi untuk menghabiskannya.


0 comments:

share2