Melaka - Gara-gara meminjam sebanyak RM16,400 daripada sindiket ceti haram ah long, seorang peniaga kecil di negeri ini terpaksa menjelaskan semula pinjaman tersebut termasuk bunganya sekali berjumlah kira-kira RM180,000.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 31, berkata, dia melakukan pinjaman tersebut tiga tahun lalu secara berperingkat sehinggalah jumlahnya mencecah sebanyak RM16,400.
Menurutnya, setakat ini jumlah bayaran yang telah dijelaskan sudah melebihi RM100,000 kepada ah long terbabit yang dikendalikan oleh individu sebagai orang tengah.
“Saya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan terpaksa melakukan pinjaman itu sebagai modal. Setiap hari saya akan memasukkan sejumlah wang antara RM100 hingga RM400 ke dalam akaun bank mereka.
“Tetapi bila saya berdepan masalah kewangan dan sukar untuk menjelaskan pinjaman tersebut akhirnya kini saya diancam oleh mereka termasuk gambar saya ditampal di mana-mana.
“Lebih membimbangkan apabila mereka meminta saya menjelaskan sebanyak RM80,000 lagi sebagai bayaran untuk menutup akaun” katanya ketika membuat aduan di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka di Ayer Keroh, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya kesal dengan sikap ah long terbabit yang dianggapnya benar-benar sebagai ‘lintah darat’.
“Pembela BN akan mengadakan rundingan dengan pihak ah long terlibat dan sekiranya mereka enggan bekerjasama kita terpaksa membuat laporan polis bagi menyelesaikan perkara ini.
“Kita difahamkan mangsa telah menjelaskan bayaran secara berperingkat semenjak tiga tahun lalu yang jumlahnya sudah mencecah sehingga RM100,000.
“Kami akan meminta mangsa supaya menghentikan pembayaran kerana kita merasakan jumlah bunga yang dikenakan tidak masuk akal dan terlalu melampau,” katanya.
Turut sama, pada sidang media itu, Penyelia Khas Pembela BN Melaka, Lim Sen Ann.
0 comments:
Post a Comment