Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 29, 2016

[ROMPIN] USAHA MARTABAT TULISAN JAWI


Usaha martabat tulisan jawi


Tulisan jawi kini kurang mendapat perhatian orang muda terutama pelajar segenap peringkat.

Tulisan itu hanya mendapat tempat bagi mereka yang memerlukannya iaitu pelajar dalam bidang berkaitan Islam.

Penyelaras Bengkel Kemahiran Jawi Siri 11, Asmadi Abdul Rahman berkata, kesedaran terhadap tulisan jawi sangat penting kerana tulisan itu pernah dikenali peringkat antarabangsa suatu ketika dulu.

Beliau berkata, usaha demi usaha dilakukan pihak yang sayang kepada tulisan ini turut membuahkan hasil apabila sudah menjadi subjek pilihan di peringkat universiti.

“Tenaga pengajar subjek yang melibatkan agama Islam atau pendidikan Islam diberikan latihan bagi meningkatkan kemahiran tulisan jawi supaya dapat diaplikasikan dalam sesi pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, walaupun hanya subjek pilihan di peringkat universiti, namun usaha berkenaan meningkatkan kesedaran terhadap tulisan jawi.

“Usaha ini perlu dilakukan secara berterusan dan memerlukan sokongan pelbagai pihak dalam memastikan golongan sasar bukan sekadar sedar, tetapi turut memiliki kemahiran untuk menulis jawi,” katanya kepada pemberita pada Bengkel Kemahiran Tulisan Jawi, di sini, kelmarin.

Seramai 150 peserta terlibat dengan bengkel berkenaan yang terdiri daripada guru Kafa, guru pendidikan Islam dan guru al-Quran yang diadakan di Dewan Utama Kolej Komuniti Rompin, di sini, kelmarin.

Bengkel anjuran Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) dengan kerjasama Muip, Jaip dan PPD Rompin itu dikendalikan Pegawai Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Azman Ahmad.

Bengkel dirasmikan Ketua Unit Sekolah Agama Rakyat dan Kafa, Jaip, Ahmad Syukri Muhamad Sudin yang turut dihadiri Timbalan Rektor Akademik Kuipsas, Dr Zawavi Zainal Abidin.

Asmadi berkata, antara objektif utama bengkel itu diadakan adalah untuk meningkatkan kemahiran peserta terhadap kaedah penulisan jawi yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran yang berkaitan dengannya.


0 comments:

share2