Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 29, 2016

HENTI SEBAR BERITA MENGAIBKAN


Henti sebar berita mengaibkan


Kuala Nerus – Polis memberi amaran kepada orang ramai terutamanya pengguna laman sosial untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat atau gambar yang boleh mendatangkan aib kepada individu tertentu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, individu yang terlibat dengan perbuatan tidak bermoral itu juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 322 (Akta Komunikasi dan Multimedia). 

Tegasnya lagi, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melakukan perbuatan tidak bermoral itu hingga boleh mencetuskan kegusaran dalam masyarakat.

“Saya ingin memberi nasihat dan juga amaran kepada semua pihak agar berhenti menyebarkan berita atau gambar yang boleh mendatangkan aib kepada pihak lain.

“Kalau kita dapati berita atau gambar yang disebarkan itu boleh menjatuhkan maruah pihak lain...hentikan...kerana ia juga merupakan kesalahan dan mereka perlu bertanggungjawab atas apa sahaja perbuatan yang dilakukan.

“Sekiranya kita ada bukti dan laporan daripada mangsa yang terlibat, kita akan jalankan siasatan secara menyeluruh termasuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan berita atau gambar yang mendatangkan aib itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan kali ke-18 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Seberang Takir, di sini, semalam.

Jelas Noor Rashid, pihaknya memandang serius kes yang diviralkan di laman-laman sosial dan meminta orang ramai agar lebih bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan maklumat yang boleh menggugat ketenteraman.

Sementara itu, mengulas mengenai perbuatan seorang wanita dibogel dan dipukul dengan dua botol minuman kaca dipercayai berlaku di pekan Sungai Golok, Kelantan, yang menjadi viral di laman sosial, beliau memaklumkan setakat ini pihaknya telah membuka kertas siasatan bersabit tiga kesalahan.

“Kita telah membuka satu kertas siasatan membabitkan tiga kesalahan iaitu Seksyen 233 (Akta Komunikasi dan Multimedia), Seksyen 325 yang mendatangkan kecederaan parah serta Seksyen 506 bagi kesalahan ugutan jenayah dan kekerasan,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memastikan mereka yang bersalah tidak terlepas daripada hukuman yang sewajarnya.


0 comments:

share2