Kisah kesempitan seorang ibu beranak sembilan yang menagih bantuan orang ramai untuk menyara kehidupannya sekeluarga mendapat perhatian Majlis Ugama Rakyat dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Kuantan, di sini, semalam.
Sebelum ini, kisah Maimunah Abdul Shukor, 37, yang mula terputus sumber kehidupan terutama dalam membesarkan anak-anaknya yang berumur 18 hari hingga 16 tahun setelah kehilangan suaminya, Yusof Abu Hussien, 40, ketika keluar ke laut menangkap ikan, lima bulan lalu dipaparkan dalam Sinar Harian.
Wakil Muip yang berkunjung ke rumahnya untuk mendapatkan maklumat terperinci mendapati keluarga ini pernah dibantu dengan sedikit sumbangan secara ‘one-off’ Muip, sekitar April tahun lalu.
Katanya, dalam usaha membantu keluarga ini pihak Muip perlu melengkapkan lagi siasatan.
“Banyak dokumen yang dimiliki tidak lengkap. Dia juga tidak mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) memandangkan mereka memberitahu bahawa keluarga dan suaminya adalah warga Myanmar.
“Dalam pada itu, juga terdapat beberapa fakta yang meragukan ketika siasatan dijalankan termasuk berkaitan perkahwinan mereka,” katanya ketika membuat lawatan ke rumahnya di tepi padang Perkampungan Sungai Karang Pantai, Balok, di sini.
Melalui kunjungan itu, semua data dikemas kini dan dinilai sama ada mereka layak menerima wang bantuan zakat.
Sinar Harian semalam melaporkan Maimunah dan anak-anaknya hanya mampu mengisi perut sekiranya ada insan yang sudi menghantar makanan ke rumah.
Setakat ini, dia tidak memikirkan soal lain, hanya ingin memohon bantuan daripada mana-mana pihak membantu sementara masih belum berpeluang untuk bekerja.
0 comments:
Post a Comment