Polis berjaya menemui kembali 38 motosikal yang disyaki dicuri di sekitar bandar Kuantan berikutan penahanan 34 individu termasuk seorang lelaki dikenali sebagai Amin yang dipercayai ketua kegiatan itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu dipercayai mempunyai kaitan dan terlibat mencuri, menjual dan memiliki motosikal curi.
Menurutnya, Ops Amin Lejang Chini dijalankan Bahagian Siasatan dan Jenayah selama 30 hari bagi membanteras kecurian motosikal didalangi kumpulan terbabit di bandar Kuantan yang dipercayai aktif sejak dua tahun lepas.
“Seorang lelaki dikenali sebagai Amin berusia 25 tahun didakwa hari ini (semalam) di Mahkamah Majistret Kuantan dengan 25 pertuduhan di bawah Seksyen 379 A, 411 dan 414 Kanun Keseksaan.
“Daripada keseluruhan suspek yang ditahan, 21 daripadanya telah dituduh di mahkamah di sini, sementara tiga lagi di mahkamah luar daerah di Pekan, Johor dan Melaka.
“Sementara enam sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan tiga yang lain masih direman untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media, semalam.
0 comments:
Post a Comment