Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 28, 2016

‘HANYA TAWAKAL KEPADA ALLAH'


‘Hanya tawakal kepada ALLAH’


Kuala Pilah – Jalan Kampung Tulang Rimau, Dangi, diberi jolokan 'jalan maut' apabila sering berlaku kemalangan di kawasan berkenaan.

Bukan itu sahaja, kebimbangan itu turut dirasai peniaga di tepi jalan tersebut apabila warungnya menjadi mangsa rempuhan sebuah kereta Perodua Alza pada Jun lalu hingga meranapkan keseluruhan struktur warungnya.

Terbaharu, seorang warga emas maut setelah terbabit dalam nahas pada Aidiladha lalu.

Pemilik warung, Ramlah Johan, 59, ketika ditemui berkata, kejadian berlaku ketika warungnya tutup dan dia hanya mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan oleh penduduk kampung.

"Insiden itu berlaku kira-kira jam 8.15 pagi membabitkan sebuah kereta sahaja. Mungkin kerana hilang kawalan selepas melalui jalan berselekoh tajam, kereta itu terus meluru merempuh kedai hingga makcik terpaksa bina kedai baharu melibatkan kos sebanyak RM1,500.

"Selalunya pada waktu pagi, memang ramai pelanggan yang singgah dan makan di sini. Jadi makcik risau juga, kalau-kalau ketika kami berniaga, tiba-tiba ada kereta hilang kawalan dan rempuh warung ini.

"Namun kami berharap ia tidak berlaku dan bertawakal pada ALLAH SWT sahaja kerana warung ini punca rezeki kami," katanya.

Katanya, warungnya hanya terletak kira-kira 50 meter dari selekoh tajam menyebabkan pemandu kenderaan mudah hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan.

"Kejadian kedua pula sehari sebelum Aidiladha membabitkan sebuah motosikal terbabas dan mangsa meninggal dunia malam kelmarin setelah bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 16 hari.

"Sebelum ini ada berlaku kemalangan namun ia tidak seteruk dua kemalangan ini. Memang jika pengguna tak biasa lalu jalan ini, mereka mudah hilang kawalan dek selekoh tajam," katanya.

Menurutnya, tidak menafikan kebanyakan nahas berpunca dari kecuaian pemandu tetapi faktor sampingan perlu diberi perhatian sewajarnya.

"Contoh, tiada lampu jalan, jalan gelap pada waktu malam, tiada papan tanda menunjukkan kawasan kerap berlaku kemalangan.

"Bukan itu sahaja, kehadiran haiwan ternakan yang sering melintas jalan juga menyumbang kepada punca berlaku kemalangan," katanya.

Kata Ramlah lagi, beberapa cadangan telah diberikan bagi mengurangkan kemalangan di jalan berkenaan seperti, memasang lampu jalan, memasang cermin kembung di simpang keluar masuk, serta papan tanda awas kemalangan.


0 comments:

share2