Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 4, 2016

BALU ALLAHYARHAM KAPTEN HASMAN MOHON MAAF


Balu Allahyarham Kapten Hasman mohon maaf


Jempol - Balu Allahyarham Kapten Hasman Hussin yang meninggal dunia selepas dihanyutkan banjir di Missouri, Amerika Syarikat, Disember lalu, memohon maaf kepada pihak terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ekoran luahan hatinya sehingga menjadi viral dalam laman sosial.

Siti Hazwani Ahmad, 29, berkata, dia sudah mendapat penjelasan daripada ATM berhubung isu imbuhan kematian suaminya yang didakwanya tidak mencukupi.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia tidak mahu memanjangkan lagi isu berkenaan dan berharap sudah selesai.

“Saya minta maaf kepada semua, kepada menteri dan semua pihak, sama ada terlibat secara langsung atau tidak dalam hal ini. Saya sudah dapat penjelasan daripada wakil ATM yang datang ke rumah tadi (semalam).

"Saya harap semuanya selesai dan tidak mahu komen lebih tentang isu ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Palong 13, di sini, semalam.

Ketika ditemui wartawan, Hazwani bagaimanapun kelihatan sebak dan sesekali menitiskan air mata berikutan rasa sedih apabila menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk netizen di dalam sosial.

“Luahan hati saya cuma berharap dapat tuntut hak anak-anak arwah iaitu pencen tanggungan anak-anak. Setidak-tidaknya dapat menanggung mereka sehingga umur 21 tahun nanti.

“Saya cuma berharap ia dapat ditunaikan seperti dijanjikan menteri melalui kenyataan dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, sejak kematian suami, dia yang juga seorang penjawat awam, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama lima tahun untuk membesarkan ketiga-tiga anaknya.

“Saya sekarang tak bekerja, hanya menjual produk kesihatan secara online. Ini usaha saya untuk menambahkan pendapatan kerana wang pencen terbitan suami sebanyak RM916.75 sebulan tidak cukup untuk perbelanjaan saya dan anak-anak.

“Apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan memberi maklum balas terhadap luahan hati saya di Facebook sebelum ini,” katanya.

Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, sejumlah wang sudah diterima Hazwani sejak awal tahun lalu.

Menurut Hishammuddin, bayaran dibuat berdasarkan syarat perkhidmatan Allahyarham selama lapan tahun bersama ATM.

Sejak awal tahun lalu katanya, jumlah wang yang diterima Hazwani sebanyak RM274,542.49 termasuk pendahuluan gaji, insurans kelompok, ganjaran dan tunggakan pencen serta Faedah Ganti Cuti Rehat (FGCR).

Selain itu, Hazwani turut menerima bayaran RM916.75 setiap bulan untuk pencen terbitan bulanan.


0 comments:

share2