Peminat program pencarian pendakwah muda, Da’i pasti masih ingat kepada Da’i Azam Al-Kankari.
Kepetahannya bercakap sambil mengeluarkan idea bernas mungkin menjadi faktor utamanya dipilih pihak juri untuk menjadi naib johan Da’i Pendakwah Milenia musim pertama di belakang Da’i Adibah.
Pengiktirafan tersebut adalah salah detik paling bermakna baginya. Da'i Azam atau nama sebenarnya Mohamad Azamudin Zainal, menjadi batu loncatan untuknya supaya masyarakat terus mengenal dirinya.
Walaupun musim tersebut sudah berakhir, Azam masih lagi giat melakukan kerja-kerja dakwah di lokasi yang berdekatan dengan tempata kelahirannya iaitu di Tangkak, Johor.
Sebelum menyertai Da’i, Azam menjadi guru di sebuah sekolah di Tangkak, Johor.
“Saya memang minat bidang pendidikan sejak berada di zaman tadika. Semasa kecil, saya suka main permainan ‘cikgu-cikgu’ dengan adik dan anak saudara.
“Tambahan pula, saya suka bercakap dan mengajar orang dan minat saya ini turut disokong kedua-dua orang tua saya,” katanya.
Menurutnya, perguruan profesion yang sangat mulia yang mana, kejayaan setiap manusia ditunjangi guru di belakangnya.
“Rasullah SAW pernah bersabda, tiga perkara baik yang beri manfaat kepada kita meskipun kita sudah meninggal dunia iaitu, doa anak soleh, sedekah dan amal jariah dan ilmu bermanfaat.
“Huraian bagi maksud ilmu bermanfaat ialah ilmu tersebut kita ajar kepada orang dan orang tersebut memanfaatkan ilmu berkenaan sehingga akhir hayatnya.
“Contohnya, saya mengajar seseorang ABC dan jika dia gunakan ABC itu sehingga dia menghembuskan nafas terakhir, Insya-ALLAH, saya akan mendapat pahala daripada ilmu ABC yang saya ajar kepadanya sekiranya dia gunakan ABC tersebut untuk perkara yang baik,” jelasnya dengan panjang lebar.
Azam pernah mengajar subjek pendidikan Islam di dua sekolah Cina iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sing Hwa dan SJKC Yu Jern, Johor.
Ditanya adakah menjadi satu kesulitan baginya untuk mengajar agama di sekolah Cina, dia tidak mempunyai masalah mengajar agama memandangkan pelajar Islam belajar agama semasa berlangsungnya subjek Pendidikan Islam.
“Ada juga murid bukan Islam yang tanya pasal Islam kepada saya. Jadi, saya akan jawab soalan mereka dengan penerangan yang mudah difahami mereka.
“Misalnya, ada pelajar tanya saya mengenai panggilan yang kuat pada setiap hari. Saya cakap pada mereka, itu azan dan panggilan tersebut mengajak orang Islam untuk membuat kebaikan dan pelajar itu faham dengan jawapan saya,” katanya.
Kini, Azam mengajar di Sekolah Agama Tun Syed Nasir di Tangkak sejak Mei tahun lalu. Walaupun sibuk menjadi guru, ia sedikit pun tidak mengurangkan minatnya dalam kerja dakwah dan dia tetap membuat ceramah di masjid sekitar kawasan tempat tinggalnya.
“Saya masih menerima jemputan berceramah di hari bekerja jika lokasi tersebut tidak jauh daripada tempat tinggal saya dan paling jauh pun, saya akan menerima jemputan berceramah di Batu Pahat atau Melaka.
“Jika lokasi ceramah itu agak jauh, saya tidak boleh menerima jemputan itu. Saya bekerja di sekolah Tun Syed Nasir pada waktu petang,” katanya.
Pengalaman berharga
Menurut Azam, pengalaman menyertai program Da’i adalah kenangan yang tidak boleh dilupakan memandangkan dia belajar pelbagai ilmu baharu di situ.
Menjelaskan format program Da’i dahulu dan kini, Azam berkata, format Da’i pada musim pertama sangat berbeza berbanding musim Da’i seterusnya.
“Semasa zaman saya, program kami lebih kepada aktiviti di luar darjah. Kami banyak diberi tugas di luar berbanding di dalam studio dan lebih mencabar lagi, kami perlu buat aktiviti sendiri untuk dinilai juri.
“Walaupun ia agak susah dilakukan, namun kami seronok jika berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan,” katanya.
Kata Azam, antara cabaran tidak dilupakan adalah berdakwah sekumpulan Orang Asli di sebuah kampung di Perak yang mana, kebanyakan daripada mereka bukannya penganut agama Islam.
Dalam aktiviti tersebut, dia bersama dua finalis lain tinggal di kampung tersebut selama tiga hari dua malam bersama keluarga angkat mereka.
“Ia cabaran untuk kami kerana pertembungan dua budaya berbeza,” katanya.
0 comments:
Post a Comment