Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 11, 2016

TANAH RIZAB JADI LADANG KETUM


Tanah rizab jadi ladang ketum



Jempol - Polis menyerbu sebuah ladang di tanah rizab di Felda Lui Selatan di sini, semalam yang dijadikan tempat menanam ketum.

Lokasi ladang tanaman pokok ketum berkenaan terletak kira-kira 10 kilometer dari perkampungan Orang Asli Sungai Sampo, di sini.

Dalam serbuan itu, dua beranak berusia 36 dan 53 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam mengusahakan tanaman ketum berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, dua beranak itu ditahan kira-kira jam 9 pagi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

Beliau berkata, sebelum ini, isteri kepada lelaki berusia 53 tahun itu ditahan dalam sebuah khemah dekat perumahan Felda Lui Selatan, di sini Julai lalu, selepas disyaki sebagai individu yang bertanggungjawab memproses air ketum.

"Polis mendapati pokok ketum ditanam di tanah rizab Felda dengan keluasan 0.2 hektar yang mana terdapat 500 pokok ketum daripada jenis ketum jambu dan merah,"

"Mereka melakukan aktiviti tanaman ketum dipercayai sejak setahun lalu dan menjual daun ketum dengan harga lebih kurang RM25 sekilogram dengan keuntungan sebulan sekitar RM500," katanya.

Selain menanam pokok ketum, katanya, mereka dipercayai turut memproses daun tersebut di ladang terbabit berikutan polis menemui ramuan memproses air ketum seperti ubat batuk, periuk dan air gas.

"Kita juga percaya bahawa penanaman pokok ini juga bertujuan untuk perniagaan sama ada untuk pasaran tempatan dan luar," katanya selesai operasi yang turut disertai Pejabat Tanah Daerah Jempol di ladang berkenaan, semalam.

Noorzainy berkata, dua beranak itu akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Sementara itu, Pegawai Daerah Jempol, Abdul Rahman Johor berkata, pihaknya akan menyiasat sebelum mengambil tindakan terhadap pemilik tanah .

"Sekiranya ada pelanggaran syarat berkaitan, tindakan undang-undang akan diambil," katanya.


1 comments:

  • Anonymous says:
    August 12, 2016 at 7:10 AM

    Apahal ni - disiasat bawah Akta RACUN?! Kenapa TAK disiasat bawah akta DADAH?! Dahlah ramai JENERASI MUDA Islam/Melayu dr. golongan FELDA dan NELAYAN, jadi PENAGIH DADAH! KDN ni TIDOQkah?!

    GERAMnya aku!

    Nek Tempoyak.

share2