Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 20, 2016

RUMAH DALANG RAMPASAN KUASA TURKI JADI TANDAS AWAM

Rumah Dalang Rampasan Kuasa Turki Jadi Tandas Awam



ANKARA – Jika di Malaysia, pembangkang begitu bebas aktif hasut rakyat ‘guling’ kerajaan dipilih sah secara demokratik menerusi pelbagai media antarabangsa, malah boleh tubuh parti baharu.

Namun lain hal di Turki susulan drama cubaan rampasan kuasa segelintir tentera antikerajaan pada 15 Julai lalu, kerajaan bertindak pantas ‘haram’ 150 media tempatan dan bakal menghukum mati individu terlibat kudeta.

Terbaharu, rumah tempat kelahiran Fethullah Gulen, ulama yang didakwa pemerintah Turki menjadi dalang utama rampasan kuasa bakal dijadikan tandas awam, menurut akhbar ternama Britain, The Independent pada Rabu.

Beliau yang melarikan diri sejak 2013 dan kini menetap di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) itu, lahir di sebuah rumah sederhana di perkampungan Korucuk, wilayah Erzurum kira-kira 900 kilometer dari ibu kota, Ankara.

Memetik akhbar propemerintah Beyaz Gazete, rumah tempat kelahiran Gulen itu akan diubah suai menjadi tandas umum atas permintaan penduduk setempat yang patriotik dan benci melihat kediaman dalang kudeta tersebut.

“Saya beranggapan laporan berkenaan hanya sekadar gurauan oleh masyarakat yang anti-Gulen sehinggalah saya menghubungi sendiri datuk bandar Erzurum, Mehmet Sekman,” ujar Latif Simsek, wartawan harian tersebut.




Bagaimanapun dalam perbualan menerusi telefon, pemberita tersebut kemudian mengesahkan pemerintah Erzurum mengakui berita berkenaan dan menegaskan mereka akan membawa isu itu kepada gabenor Erzurum.

Gulen, 75; dituduh kerajaan Turki menjadi dalang rampasan kuasa militer yang gagal itu dan meminta pemerintah AS agar segera mengekstradisi ulama tersebut untuk dibicarakan dan dihukum mati sebagai pengkhianat negara.

Pihak berkuasa Turki setakat ini berjaya menahan dan memecat lebih 60,000 orang termasuk pegawai kanan angkatan tentera, semuanya kerana didakwa bersubahat dengan rancangan jahat Gulen menggulingkan kerajaan.

Insiden berdarah itu menyaksikan lebih 300 orang maut manakala 2,185 cedera apabila Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyeru jutaan rakyat ‘bangkit’ di jalanan untuk menggagalkan percubaan rampasan tersebut.

Beliau yang kemudian mengisytiharkan darurat selama tiga bulan ekoran kudeta itu pernah bersahabat dengan Gulen sebagai sekutu kuatnya sebelum mereka berubah menjadi seteru pada 2013.




0 comments:

share2