“Sebab itu saya menghargai Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau berpesan kepada saya, Najib saya nak kamu bawa negara ini ke satu tahap yang lebih tinggi daripada masa saya dan saya akan amat gembira kalau kamu berjaya.

“Saya akan pinjam ayat ini, apabila sampai masa, saya akan beritahu kepada bakal pengganti ayat yang sama dan bukannya nak mengganggu pengganti saya, jauh sekali hendak tubuhkan parti baharu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat di Sekolah Kebangsaan Kubang Batang di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu yang juga Pengerusi Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Rosdi Abd Aziz.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Presiden UMNO menyelar golongan tertentu terutama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menggunakan kaedah bertentangan dengan perjuangan untuk menghancurkan UMNO semata-mata bagi mencapai matlamat peribadinya.

“Saya pantang, kalau tak suka tak apa, ada perselisihan pendapat tak apa, kerana itu biasa, kita ada cara untuk selesaikan masalah dalam parti, dalam Islam anjurkan musyawarah selesaikan dalam mesyuarat.

“Islam tidak suruh serang pe­mimpin hatta Nabi Musa, Tuhan suruh tegur Firaun dengan baik, Tuhan tak suruh jatuhkan kerajaan Firaun. Saya tidak kata saya betul semua tetapi ikut kaedah jangan guna ka­edah yang tidak beradab,” katanya.

Tambahnya, ahli-ahli UMNO wajib mempertahankan parti de­ngan kasih dan sayang serta tidak terpengaruh demi meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.