Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 26, 2016

MAHKAMAH TOLAK RAYUAN KHAIRUDDIN


mahkamah


Putrajaya - Mahkamah Rayuan di sini, hari ini menolak rayuan bekas Timbalan Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk membatalkan pertuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan kewangan negara yang dihadapinya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak rayuan Khairuddin tanpa pendengaran penuh rayuan dan bantahan awal pendakwaan terhadap rayuan itu.

Hakim Raus mempersoalkan sama ada wajar bagi Khairuddin untuk memfailkan permohonan itu sedangkan Mahkamah Tinggi telahpun mengeluarkan perintah untuk menangguhkan sementara perbicaraan kes yang dihadapinya sementara menunggu penyelesaian rayuan oleh pendakwaan di Mahkamah Rayuan.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pertuduhan yang dihadapi Khairuddin dan peguam Matthias Chang Wen Chieh bukanlah kesalahan keselamatan dan ia tidak tertakluk di bawah kesalahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Kes itu ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 14 November.

Khairuddin, 54, dan Chang Wen Chieh, 66, berdepan pertuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan kewangan dan perbankan negara di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas.

Kedua-dua mereka berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun jika didapati bersalah mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

Pada 18 November 2015, Mahkamah Tinggi membenarkan Khairuddin dan Wen Chieh dibebaskan dengan jaminan selepas memutuskan bahawa pertuduhan yang mereka hadapi itu tidak tertakluk di bawah Sosma.

Kesalahan di bawah Sosma tidak boleh dijamin.

Khairuddin memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak oleh mahkamah pada 13 April tahun ini.

Khairuddin diwakili sepasukan peguam diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Zhafran Rahim Hamzah mewakili pihak pendakwaan.


0 comments:

share2