Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 23, 2016

[LIPIS] RM3.2 JUTA NAIK TARAF INFRASTRUKTUR


RM3.2j naik taraf infrastruktur


Penduduk Kampung Limau Purut dan Sungai Lik, Mukim Cheka 1 di sini, menyuarakan penghargaan apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM3.2 juta bagi menaik taraf kemudahan asas di kawasan penempatan berkenaan.

Ketua Kampung Limau Purut/Sungai Lik, Mohamad Dewan Nordin berkata, peruntukan itu membabitkan RM3 juta untuk membaik pulih jalan raya dari kampung berkenaan ke Pekan Kerambit sejauh enam kilometer.

"Jalan raya di kampung ini banyak yang rosak sebab digunakan kenderaan berat seperti lori yang membawa muatan bijih.

"Bahaya memang bahaya dan dengan peruntukan ni, kira-kira 300 penduduk akan dapat menikmati jalan yang selesa dan selamat," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, sejumlah RM150,000 lagi diperuntukkan bagi membina sebuah balai raya baharu di kampung tersebut dan selebihnya untuk kantin baharu bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut.

“Sebelum ini, kami menjalankan aktiviti di balai raya lama yang serba kekurangan. Peruntukan yang diberikan untuk menaik taraf infrastruktur kampung ini memberi makna cukup besar kepada kami.

"Lepas ni, kami boleh buat aktiviti di balai raya baharu yang pastinya lebih selesa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jalinan Mesra Warga Kampung Limau Purut/Sungai Lik dan Perasmian Balai Raya kampung berkenaan yang disempurnakan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad, kelmarin.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan luar bandar membuktikan kerajaan tidak mendiskriminasikan rakyat di mana-mana kawasan.

Menurutnya, kerajaan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak akan sentiasa mendekati rakyat seluruh negara bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi.

“Kita dapat lihat hampir keseluruhan perkampungan di daerah Lipis ini dibina pelbagai kemudahan asas seperti balai raya, surau, gelanggang futsal dan lain-lain lagi.

“Ini menunjukkan bahawa pemimpin sentiasa prihatin dengan kehendak dan keperluan rakyat sejajar dengan hasrat kerajaan yang ingin melihat masyarakat di luar bandar menikmati keselesaan hidup lebih sempurna,” katanya.


0 comments:

share2