Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 23, 2016

[JENGKA] TERKEJUT RUMAH DIPENUHI ASAP


Terkejut rumah dipenuhi asap


Tindakan pantas seorang anak mengejutkan ibunya yang sedang tidur menyelamatkan mereka dari terperangkap dalam kebakaran rumah mereka, di Felda Jengka 11 di sini, awal pagi, semalam.

Shahrizan Ramli, 27, berkata, dia tersedar dari tidur kira-kira jam 12.30 pagi semalam kerana sesak nafas apabila ruang bilik dan rumahnya dipenuhi asap.

Menurutnya, sebaik keluar dari bilik dan membuka pintu sebuah lagi bilik di ruang tamu, dia terkejut melihat api yang marak membakar katil, tilam dan tirai di bilik itu.

“Saya hanya jerit panggil mak yang tidur di bilik belakang. Saya minta mak keluar dari rumah dengan dua lagi anak saudara berumur lapan dan 11 tahun yang ketika itu tidur di ruang tamu.

"Dalam keadaan terkejut saya terus ke dapur ulang alik angkut air guna besen untuk padamkan api. Makin saya simbah air, api semakin menyambar dan marak. Saya dah tak sempat fikir," katanya.

Pada masa sama, katanya, ibunya pergi meminta bantuan jiran untuk memadamkan kebakaran.

"Jiran datang tolong padamkan api dengan air paip, padahal paip air dekat saja dengan bilik, tapi masa tu saya betul-betul panik.

"Barang motosikal dan tayar, ada yang dah meletup dan api mula merebak ke dinding, bumbung. Saya cuma fikirkan keselamatan mak dan anak buah masa tu,” katanya.

Shahrizan berkata, tindakan jiran mereka menghubungi bomba membantu menyelamatkan keadaan apabila pasukan menyelamat itu tiba dan membantu memadam kebakaran.

"Terima kasih untuk jiran-jiran yang membantu, kalau tak mungkin api dah merebak dan rumah kami habis terbakar. Lagipun, masa kejadian tu, ada tong gas depan bilik dan saya betul-betul risau meletup.

"Dua anak saudara seakan tercengang tengok kebakaran, mungkin sebab terkejut sebab sebelum tu semua sedang tidur. Hanya ada saya, mak dan dua anak buah dalam rumah, kebetulan kakak saya pergi Kuantan, kursus,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Haridah Mat Ali, 61, berkata, dia terpinga-pinga sebaik bangun tidur setelah mendengar jeritan Shahrizan.

“Yang saya ingat ada pasang ubat nyamuk sebelum tidur. Masa tu dah tak fikir apa dah, nak selamatkan diri dan cucu-cucu sahaja. Syukur, kami selamat.

"Tak ingat nak telefon bomba ke polis... jiran tolong telefon dan sama-sama padamkan api. Semua barang dalam bilik hangus terbakar," katanya.


0 comments:

share2