Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 31, 2016

[KUANTAN] TERUJA TERIMA KEJUTAN


Teruja terima kejutan


Seorang warga emas mengakui seronok dan teruja apabila pertama kali dalam hidupnya menerima kejutan sambutan hari lahir.

Aris Mat Isa, yang menghuni Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Sri Permai sejak setahun lalu berkata, dia tidak menyangka adanya satu majlis khas untuk meraikan hari lahirnya yang ke-63, semalam.

Menurutnya, lebih menggembirakan lagi apabila majlis dimeriahkan bersama penuntut dan kakitangan kolej Imperia.

“Pakcik suka, tak sangka ada majlis untuk pakcik...hari ni (semalam) ada dua biji kek diberikan kepada pakcik. Seronok sangat, kawan-kawan pakcik yang lain pun gembira.

“Lagi seronok bila pakcik dan kawan-kawan bergambar, lepas tu kami kibarkan bendera sambil makan kek dan nasi ayam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah kebajikan itu di Taman Tas selepas Majlis Ramah Mesra Warga Koleh Imperia bersama warga tua di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Sri Permai, Zahari Mamat.

Aris berkata, dia hidup sebatang kara disebabkan itu dia menghuni rumah kebajikan itu selepas kematian ibu dan ayahnya.

Katanya, hampir dua tahun lebih dia dijaga oleh sepupunya di Kuala Lipis, namun sepupunya itu berkahwin dan dia terpaksa keluar dari rumah tersebut.

“Bukan sepupu tak mahu jaga pakcik, dia ada isteri jadi tak elok pakcik tinggal di situ sebab pakcik bukan muhrimnya. Jadi lebih baik pakcik tinggal di sini dan terus terang pakcik cakap seronok duduk di sini sebab pakcik ada ramai kawan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Imperia, Zahar Ali berkata, program tersebut diadakan bagi memberi sinar kegembiraan warga tua yang menghuni rumah kebajikan tersebut.

Katanya, kebanyakan warga tua berasakan mereka dipinggirkan, namun program yang kita anjurkan ini sebagai tanda bahawa mereka semua masih dihargai dan disayangi.

“Masih ada yang prihatin dan mengambil berat tentang kehidupan mereka itu dan disebabkan itu Kolej Imperia menganjurkan program menyambut hari lahir penghuni dan sambutan kemerdekaan,” katanya.

Program yang dianjurkan semalam dihadiri lebih 12 kakitangan dan empat pelajar kolej itu dengan pelbagai aktiviti diadakan.


0 comments:

share2