Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 22, 2016

10 MINIT AIR NAIK PARAS LUTUT


10 minit air naik paras lutut


Melaka Tengah - Kira-kira 450 penduduk di lima kampung dan beberapa taman perumahan di kawasan Peringgit di sini, terjejas apabila rumah mereka dinaiki air selepas hujan lebat lebih dua jam, semalam.

Hujan seawal jam 5 pagi itu reda sebelum lebat semula pada jam 8 pagi menyebabkan air memasuki kira-kira 150 rumah di empat kampung dan dua perumahan dalam tempoh kurang 10 minit.

Kejadian melibatkan Kampung Pulau Kelapa, Kampung Batu Hampar, Kampung Peringgit, Kampung Solok Balik Bukit, Taman Laksamana Peringgit dan Peringgit Point itu menyebabkan sebuah penempatan sementara mangsa banjir dibuka di Balairaya Peringgit, semalam.

Difahamkan, hujan yang kembali reda kira-kira jam 8.30 pagi itu turut menyebabkan beberapa penduduk di Taman Jati, Batu Berendam dan Kampung Bukit Piatu terjejas.

Kerap dinaiki air sejak ada projek persimpangan bertingkat

Seorang penduduk Kampung Pulau Kelapa, Nur Falihin Sulaiman, 27, berkata, rumahnya mula dinaiki air berikutan berhampiran parit.

“Sejak projek pembinaan fly over (persimpangan bertingkat), kami dah boleh agak dan bersedia jika hujan lebih melebihi dua jam, kami akan angkat barang dan letak di tempat lebih tinggi dan kali ini paling teruk bila air naik sampai paras lutut.

“Rumah kami ini memang di kawasan rendah, kalau hujan betul-betul lebat baru air naik tapi tak selalu. Sekarang ini terlalu kerap sejak tahun lepas ada lebih 10 kali rumah banjir,” katanya.

Penduduk Kampung Peringgit, Nor Azman Mohamed Sultan, 35, yang juga sependapat dengan Nur Falihin pula berkata, peralatan dan kelengkapan rumahnya tidak sempat diselamatkan berikutan tidak menyangka hujan akan lebat semula jam 8 pagi selepas reda 6.45 pagi.

“Hujan dah berhenti dalam dekat-dekat 7 pagi tapi lebat semula dalam jam 8. Tak sampai 10 minit air masuk rumah. Semua perabot termasuk almari, sofa selain baju tak sempat diselamatkan.

“Bila saya keluar rumah, air sudah sampai paras pinggang dan kejadian banjir kilat berlaku terlalu kerap sejak projek pembinaan fly over di hadapan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Saliran longkang tersumbat

Menurut Nor Azman, sejak projek berkenaan dilakukan, air di dalam longkang hadapan rumahnya juga bertakung dan tidak dapat mengalir dipercayai saliran longkang di tepi jalan utama tersumbat.

“Air yang bertakung dalam longkang kadang-kadang berbau busuk dan tadi ketika hujan lebat pada awalnya air tidak mengalir ke mana-mana dan saya rasa bila hujan semula menyebabkan air terus masuk ke dalam rumah.

“Kita bukan mahu menolak pembangunan. Kita setuju projek ini untuk kemudahan masa hadapan tapi kecewa apabila pihak berwajib tak sediakan atau buat sistem saliran dan perparitan yang betul menyebabkan kami penduduk kampung terima akibat dan kesannya,” katanya.

Tingkat sistem saliran, perparitan

Ketua Kampung Pulau Kelapa, Shaari Abu berkata, hampir 15 kali banjir berlaku di kawasan berkenaan termasuk lapan kali pada tahun lalu sejak pembinaan persimpangan bertingkat mula dilaksanakan pada tahun 2014.

Difahamkan, Kerajaan mula melaksanakan projek pembinaan persimpangan bertingkat dari Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hingga Peringgit sejak dua tahun lalu bagi menangani masalah kesesakan di daerah Melaka Tengah terutama kawasan bandar melibatkan peruntukan dana RM350 juta.

“Sebelum projek ini bermula, kawasan Peringgit memang dinaiki air tapi tidak sehingga merosakkan harta benda dan tidak melibatkan sebarang perpindahan penduduk kampung. Saya cadangkan kerajaan membina kolam takungan air.

“Perkara ini pernah dibincangkan dengan PBT di bawah pentadbiran mantan Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam namun sehingga kini tiada tindakan apa-apa,” katanya.

Shaari berkata, kajian terhadap infrastruktur juga perlu dilakukan berikutan terdapat longkang yang dibina kira-kira 50 tahun lalu yang dipercayai menyebabkan sistem saliran dan perparitan tidak berfungsi dengan baik.

“Kita percaya banjir ini juga berlaku apabila air dari kawasan Bukit Piatu, Bukit Baru, Padang Jambu dan taman perumahan baru sudah dibina atau sedang didirikan menumpu ke Peringgit.

“Jadi kita minta supaya sistem saliran dan perparitan dapat ditingkatkan segera supaya banjir tidak berlaku lagi,” katanya.

Exco arah kontraktor projek selenggara sistem perparitan

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, kontraktor bagi projek berkenaan sudah diarahkan untuk menyelenggara sistem perparitan di kawasan itu supaya laluan air ke Sungai Melaka tidak tersekat, sejak beberapa minggu lalu.

“Bagaimanapun, saya akan memeriksa sendiri keadaan sistem perparitan di kawasan-kawasan terjejas esok (hari ini) bagi memastikan sama ada ia dilaksanakan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.


0 comments:

share2