Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 24, 2016

WUI, IKRAM KERJASAMA LANCAR RUMAH NGAJI


WUI, Ikram kerjasama lancar Rumah Ngaji



Kuala Lumpur - Program Rumah Ngaji, anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dengan sokongan Kumpulan Media Karangkraf menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Ikram Malaysia.

Presidennya, Dr Parid Sheikh Ahmad berkata, Ikram Kawasan Batu adalah cawangan pertama yang menawarkan program Rumah Ngaji kepada golongan sasaran dan masyarakat setempat.

“Program Rumah Ngaji yang pertama dijalankan ini adalah hasil inisiatif ahli jawatankuasa cawangan Ikram Kawasan Batu sendiri, ia antara khidmat sukarela disediakan, di samping aktiviti ilmiah yang lain.

“Dengan adanya program Rumah Ngaji ini, golongan sasaran iaitu penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berhampiran dan masyarakat setempat juga berpeluang belajar lebih mendalam tentang al-Quran, selain menguatkan lagi keperibadian Islam dengan aktiviti yang lain,” katanya pada majlis Pelancaran Pusat Komuniti Ikram Kawasan Batu dan Majlis Sambutan Aidilfitri, semalam.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Program Rumah Ngaji dan #ProjekPrihatin yang dijalankan pertubuhan itu.

Menurutnya, pengisian yang disediakan Ikram mampu mengurangkan masalah sosial yang mengancam perjalanan kehidupan umat Islam di negara ini.

“Pembangunan manusia adalah peranan asas Ikram yang meliputi peribadi individu, keluarga dan masyarakat. Kita ada fokus dan strategi untuk diberi pendekatan.

“Usaha yang telah dijalankan juga sedikit sebanyak mampu mengatasi masalah gejala sosial yang berlaku terutamanya kepada golongan belia,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Ikram Kawasan Batu, Omar Ismail berkata, Rumah Ngaji diwujudkan adalah atas keperluan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, program ini telah dijalankan sejak dua bulan lalu dan sambutannya amat menggalakkan daripada penuntut IPTS berhampiran dan juga penduduk setempat.

“Kita akan terus kembangkan aktiviti ini kerana melihat sendiri keperluannya kepada masyarakat yang memang berminat untuk lebih mendekati kitab suci ini,” katanya.

Menurut Omar, selepas bercuti sempena Aidilfitri, program Rumah Ngaji dan aktiviti lain akan kembali berjalan seperti biasa bermula minggu pertama Ogos ini.

“Bagi aktiviti Rumah Ngaji, ia akan diadakan pada setiap Rabu hingga Jumaat bermula jam 12 tengah hari sehingga 2 petang dan kami amat mengalu-alukan mereka yang berminat,” katanya.


0 comments:

share2